Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA MP | Kes ibu curi Milo dipenjara: Hukuman harus setimpal

Tulisan ini bukan percubaan untuk melangkaui kuasa badan kehakiman dalam menegakkan keadilan, ataupun serangan ke atas hakim berkenaan yang telah menyampaikan penghakiman.

Tetapi tulisan ini berlandaskan kegusaran saya dengan keputusan yang tampaknya tandus dengan konsep atau idea perkadaran (proportionality) atau kewajaran (reasonableness).

Muktahir ini saya disampaikan dengan berita bahawa seorang tertuduh dijatuhi hukuman berat atas kesalahan mencuri dua tin Milo.

Ia amat merunsingkan saya apabila hukuman berat dijatuhkan bagi kesalahan kecil yang hanya melibatkan barangan makanan, sedangkan tertuduh dalam kes jenayah berat masih bebas berkeliaran, malahan ada yang menjalani kehidupan mewah serba gaya. Seolah-olah terdapat dua darjat yang berbeza.

“Keadilan” yang dilaksanakan dalam kes tin Milo ini jelas sekali kekurangan nilai kemanusian terutamanya kepada masyarakat umum yang sedang berdepan dengan isu sara hidup, sehinggakan ramai yang kini hanya mampu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Terdapat juga golongan yang terpaksa mengemis untuk sesuap nasi dan ada juga yang terpaksa mencuri.

Saya sesungguhnya percaya ia bukanlah keadilan yang sebenar untuk menghukum tertuduh dalam kes tin Milo ini dengan hukuman berat. Sebaliknya, keadilan yang sebenarnya menuntut untuk peluang diberikan kepada mereka yang jelas hanya ingin mengalas perut.

Memandang dia dilaporkan sebagai pesalah berulang atau repeat offender dan juga seorang penagih, amat wajar kes ini dipertimbangkan melampaui perhitungan hukuman penjara semata-mata.

Sementara umum amat memahami tabiat serta tingkah-laku seperti ini, khasnya terkait penagih, tetap dia perlu dibantu untuk dapat keluar daripada perangkap kemiskinan dan kesengsaraan hidup yang berpanjangan. 

Lebih penting adalah memastikan anak-anaknya mendapat pembelaan dan perlindungan supaya akhirnya berpeluang bebas dari kitaran ganas tekanan derita hidup ini.

Harus diingatkan walaupun tertuduh merupakan pesalah berulang,  namum, pertimbangan harus diberikan kepada jenis, sifat dan keseriusan jenayah yang telah dilakukan. Dan dalam kes ini, ia hanyalah satu salah laku remeh yang melibatkan dua tin Milo.

Residivisme (mengurangkan ulangan kesalahan) hanya boleh dilaksanakan melalui rehabilitasi dan bukannya dengan hujuman penjara yang lebih panjang.

Saya menyeru kepada Jabatan Peguam Negara untuk menzahirkan belas kasihan mereka dengan serta merta dan mohon untuk penggantungan pelaksanaan hukuman serta memohon kepada mahkamah untuk mengkaji semula hukuman yang dijatuhkan (judicial revision).

Saya juga percaya kes tin Milo ini menyuluh cahaya kepada perkara yang lebih besar, iaitu isu sara hidup rakyat dan kenaikan harga barangan keperluan yang harus ditangani segera.


DZULKEFLY AHMAD ialah anggota parlimen Kuala Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS