Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang berlegar-legar di kawasan banjir di Baling semata-mata untuk membuat kandungan media sosial.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata mereka yang masuk ke kawasan bencana dengan niat untuk meraih populariti di media sosial boleh dikenakan tindakan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Kita faham perkembangan era zaman teknologi baru untuk mereka berada di satu tempat dan masa yang betul untuk mereka menularkan sesuatu isu dan sebagainya, dan mungkin untuk mendahului media.

"Jadi saya ingin memberi nasihat kepada mereka yang mempunyai kepentingan diri tanpa berasa belas kasihan kepada mangsa banjir yang sedang kesusahan, cukuplah menyusahkan pihak berkuasa dengan berlegar-legar di kawasan musibah ini tanpa tujuan.

"Semata-mata untuk mempopularkan diri dengan mengatakan bahawa anda berada di sini dan membantu mangsa-mangsa banjir sedangkan anda tidak berbuat apa-apa," katanya pada sidang media di Baling hari ini.

Shamsudin berkata jika pihak yang terbabit mengingkari arahan pihak berkuasa tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Katanya, bagi meningkatkan kawalan keselamatan polis mengadakan dua sekatan jalan raya iaitu di simpang Kampung Jerai dan Kuala Kuang yang bertujuan mengurangkan kemasukan kenderaan yang tidak berkaitan di kawasan bencana.

Dalam pada itu Shamsudin berkata setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kehilangan atau kecurian harta benda membabitkan mangsa bencana banjir.

"Mangsa banjir dibenarkan pulang untuk mengambil barang berharga atau dokumen pengenalan diri untuk disimpan di tempat selamat atau pusat pemindahan sementara," katanya.

Sementara itu, Shamsudin berkata setakat jam 5 petang tadi seramai 499 orang daripada 109 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah dan Surau An Nur.

- Bernama