mk-logo
Berita
PRU15: Khairuddin saran Umno, PAS bersaing dalam 'berkasih sayang'
Diterbitkan:  Jul 7, 2022 1:57 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Ketika hubungan Umno dan PAS terus menegang dengan pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan menghangatkan keadaan, Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali menawarkan kaedah tersendiri bagi kedua-dua parti mendepani PRU akan datang.

Menurut bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu kedua-dua parti terbabit boleh terus bersaing antara satu sama lain dengan masing-masing mengemukakan manifesto sendiri.

Namun kata ahli parlimen yang sudah meninggalkan PAS itu, kedua-dua parti terbabit hendaklah bertanding secara sihat dan penuh berkasih sayang.

"Untuk pilihan raya akan datang masing-masing (PAS dan Umno) boleh bertanding menawarkan diri menjadi wakil rakyat dan kerajaan dengan manifesto masing-masing sebagai pertandingan politik yang sihat dan berkasih sayang.

"Ia akan mewujudkan hubungan harmoni antara rakyat dan parti pascapilihan raya meski siapa pun menjadi kerajaan.

"Itu adalah harapan politik generasi baru," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Khairuddin berkata demikian ketika mengulas mengenai agenda Muafakat Nasional (MN) iaitu gabung yang dibentuk antara PAS dan Umno ketika kedua-duanya menjadi pembangkang selepas PRU ke-14 lalu.

Bersama di pusat, negeri

Di sebalik termeterainya persefahaman berkenaan, hubungan PAS-Umno mula keruh selepas timbul beberapa isu termasuk tindakan sepihak PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Bersatu.

Sejak itu beberapa pemimpin kedua-dua parti mula berbalas-balas kenyataan termasuk yang bersifat keras.

Sebagai rekod pada Mac lalu Khairuddin mengumumkan keluar dari PAS selain turut mengkritik beberapa keputusan yang diambil parti itu.

Antaranya membabitkan perjanjian antara PAS dengan PN yang didakwa Khairuddin dilakukan presidennya, Abdul Hadi Awang, tanpa meminta pandangan daripada kepimpinan parti.

Mengingatkan betapa PAS dan Umno masih bersama dalam kerajaan pusat dan beberapa negeri, Khairuddin berkata agenda MN perlu dilihat dalam konteks yang luas, merangkumi perdamaian politik serta kerjasama dalam apa saja perkara kebaikan.

"Hari ini PAS dan Umno bersama dalam kerajaan di peringkat persekutuan. Juga bersama dalam kerajaan di Perak dan Kedah.

"Di peringkat Terengganu, Kelantan dan Pahang, Umno dan PAS menjadi wakil rakyat mesra kerajaan, bukannya pembangkang.

"Semua ini menjadi platform yang baik menghubungkan kedua-dua pihak," katanya.

Lihat Komen
ADS