Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di atas runtuhan, lumpur: Penduduk percaya ladang durian punca bencana

Banjir di Baling telah pun surut, namun lumpur, runtuhan dan serpihan bawaan kepala air memenuhi Kampung Iboi, Kampung Jerai dan Kampung Pisang.

Kewujudan ladang Musang King seluas 52 ekar di Hutan Simpan Gunung Inas kira-kira satu kilometer ke hulu dari kampung berkenaan didakwa penduduk kampung yang ditemui Malaysiakini sebagai punca kejadian banjir lumpur itu.

Bencana dahsyat itu meragut nyawa tiga korban dan sekurang-kurangnya 600 orang kehilangan tempat tinggal.

Penduduk berkata kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang begitu besar tidak pernah berlaku sebelum hutan itu ditebang untuk penanaman ladang, walaupun hujan berterusan selama dua hingga tiga hari.

Ini menyangkal dakwaan kerajaan negeri dan persekutuan bahawa banjir tiada kaitan dengan ladang durian, tiada pembalakan aktif berlaku dan banjir adalah "bencana alam" yang dikaitkan dengan peningkatan dua kali ganda hujan di kawasan tadahan air itu pada hari Isnin ( 4 Julai).

Imej satelit sejak 2017 menunjukkan tahap penebangan hutan berhampiran Gunung Inai. Kampung Iboi boleh dilihat sebagai kawasan di sepanjang jalan di sudut kanan atas imej ini.

Pada lewat petang hari itu, paras sungai di Kampung Iboi - yang pernah pada suatu masa menjadi tempat riadah dan perkelahan popular dengan air terjun di hulu - mendadak naik melimpah.

Kampung Iboi, yang terletak di lembah bersebelahan Hutan Simpan Gunung Inas, paling teruk terjejas, tetapi pekan Kupang, dengan jarak tujuh kilometer jauhnya juga tidak terkecuali.

Sisa lumpur kelihatan di seluruh pekan itu, termasuk di balai polis dan di sekolah Cina.

Penduduk kampung mengimbas kembali bagaimana paras air meningkat dengan arus yang cukup deras sehinggakan tiada seorang pun yang sempat menyelamatkan barang-barang mereka.

Banjir lumpur membawa serpihan meluru masuk ke dalam rumah dan bangunan, malah ada juga struktur yang dihanyutkan arus deras.

Hanya tinggal kotoran

Nurhalimah Kuin mengenang bagaimana dia mendengar bunyi kuat semasa hujan lebat sebelum air tiba-tiba mula mencurah-curah masuk ke dalam kedai bakerinya, yang terletak di sebelah sungai di Kampung Iboi.

Hari ini, hanya lumpur dan kotoran yang memenuhi tapak kedai rotinya yang musnah itu.

Nurhalimah berkata dia menjerit meminta tolong apabila paras air naik menutup pintu premis.

“Tetapi kami tidak dapat menyelamatkan apa-apa. Kami sempat keluar dari tempat tersebut sebelum dihanyutkan oleh arus deras.

"Saya berlari ke rumah ibu mertua saya di belakang, yang terletak di tanah tinggi, ketika saya melihat bangunan itu dihanyutkan," dia mengimbau pengalaman pahitnya.

Bapanya Kuin Mat Noh, 69, menyalahkan kerajaan kerana membenarkan ladang durian Musang King, yang dipercayainya menjadi punca bencana itu.

Dia berkata, penduduk kampung sejak awal menentang cadangan penanaman durian di atas bukit kerana bimbang akan berlaku bencana sedemikian.

“Pemilik ladang durian sangat berahsia, mereka memagar kawasan itu dan memasang pintu pagar untuk menghalang penduduk kampung masuk.

Gambar fail, penebangan hutan untuk projek ladang durian di Gunung Inas.

"Pemilik ladang telah membuka tanah hutan yang luas di atas bukit dan menanam sedikit pokok durian sebagai pengganti pokok hutan.

“Terdapat 10 tandak air di atas bukit untuk keperluan bekalan air penduduk kampung. Penduduk kampung diberitahu bahawa tiga daripada tandak air itu telah rosak akibat arus deras yang mencurah-curah.

“Kami mahu kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku lagi bencana serupa pada masa hadapan dan membatalkan keseluruhan projek ladang durian itu,” kata Kuin.

Sementara itu, Siti Aisya Misnan, 34, (gambar, bawah) nyaris kehilangan anak lelakinya berusia 16 tahun dalam kejadian banjir itu apabila air mencurah-curah ke rumah sewa mereka.

Siti Aisya memberitahu Malaysiakini anaknya sedang membuat kerja sekolah di rumah seorang diri apabila air tiba-tiba naik mendadak.

Sambil menunjuk ke arah timbunan serpihan yang pernah menjadi tapak dapurnya, dia menceritakan detik cemas anaknya cuba menyelamatkan diri naik ke atas ke bumbung rumah ketika arus deras merempuh.

Kata Siti Aisya, anaknya cuba naik ke bumbung melalui pintu belakang tetapi paras air semakin meningkat di sana.

"Dia memanjat, dua kali jatuh," kata Siti Aisya.

Dinding rumahnya ranap dibawa arus banjir lumpur itu.

"Tak dan (sempat), air mari sekali bawak pergi. Barang-barang tak ada apa yang selamat.

"Sekelip mata (arus deras) bawa semua barang-barang habis, mesin basuh, kucing arwah, tinggal seekor saja dari 20 ekor.

"Sewa sini dalam empat tahun nak masuk lima, tak pernah naik macam gini," jelasnya.

Siti Aisya berkata dia kini menumpang sementara di rumah ibu mertuanya bersama tiga anaknya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS