Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPJ siasat lori rempuh kenderaan di JB-Woodlands
Diterbitkan:  Jul 7, 2022 3:32 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan segera menjalankan siasatan berhubung video tular sebuah lori melanggar beberapa kenderaan lain di Johor Bahru-Woodlands pagi tadi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata JPJ akan menjalankan siasatan mengikut Tata Amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden tersebut yang tular dalam media sosial.

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan setelah JPJ melengkapkan audit ICOP.

“Ini termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Sementara itu, pihak Polis Diraja Malaysia akan membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori berkenaan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Wee berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula akan menyiasat dari aspek teknikal untuk mencari punca kemalangan itu berlaku.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian semasa kemalangan tersebut berlaku diminta menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video jika ada bagi membantu siasatan.

“Saya amat memandang serius kes-kes seperti ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS