Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rampasan aset negara: MP persoal AG, peguam Petronas
Diterbitkan:  Jul 12, 2022 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Seorang ahli parlimen DAP menyalahkan kecuaian Peguam Negara Idrus Harun dan pasukan peguam Petronas atas rampasan aset syarikat minyak negara oleh apa yang didakwa sebagai kesultanan Sulu.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin menyoal mengapa kerajaan membenarkan rampasan aset milik negara.

"Bagaimanakah Kerajaan Malaysia boleh membenarkan perkara sebegitu berlaku terhadap aset negara? Kenapa tiada injunksi atau perintah sekatan difailkan terhadap apa yang didakwa sebagai waris kesultanan Sulu itu untuk melakukan lebih banyak kerosakan dengan niat jahat?"

"Apakah yang telah dilakukan sejak kali terakhir apabila perintah timbang tara diperolehi? Apakah yang telah dilakukan untuk mengtenepikan perintah timbang tara itu?"

Peguam Negara Idrus Harun.

"Nampaknya, tidak ada apa-apa! Ini menunjukkan kecuaian pihak peguam negara dan pasukan peguam Petronas," tegas Chan.

Awal hari ini, Financial Times yang berpangkalan di London melaporkan pewaris kesultanan Sulu yang dikatakan itu menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia - telah merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Peguam pihak yang menuntut telah merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Peguam berkata bailif (pegawai mahkamah) di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka pada hari Isnin.

Keturunan sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menuntut jumlah wang yang banyak dari Malaysia berikutan proses timbang tara itu.

Proses timbang tara dimulakan sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara di Perancis, dengan alasan bahawa pertikaian antara Malaysia dan pihak yang menuntut bukanlah kontrak komersial dan dengan itu tidak tertakluk kepada timbang tara.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Peguam Negara Idrus Harun berkata Jabatan Peguam Negara "baru dimaklumkan dan sedang meneliti perkara itu".

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS