Pendekatan 'canggung' DBKL terhadap kelab komedi dibidas
Sekumpulan seniman menyelar pendekatan "canggung" Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menggantung lesen sebuah kelab komedi baru-baru ini sedangkan siasatan masih dijalankan berhubung beberapa rakaman video yang tular di premis berkenaan.
ReformARTsi, yang mewakili 118 seniman Malaysia dan 55 organisasi seni dalam satu kenyataan berkata, penggantungan itu sepatutnya menjadi pilihan terakhir.
“Walaupun persembahan yang dipersoalkan mungkin menimbulkan kebimbangan yang berasas, tindakan canggung daripada DBKL yang menggantung serta-merta operasi venue itu sepatutnya menjadi langkah terakhir.
“Apabila perbuatan kontroversi menarik perhatian umum, adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk tidak memihak, mengutamakan perlindungan dan ekspresi hak perlembagaan, dan berhati-hati agar tidak meranapkan kebebasan kita semasa prosedur ini dilaksanakan.
"Kes ini adalah satu lagi contoh di mana pihak berkuasa tempatan memilih untuk memihak dan menghukum berbanding berunding, berdamai dan melakukan penambahbaikan," katanya sambil menambah langkah menggantung operasi kelab itu hanya perlu jika premis itu tidak memberi kerjasama.
Gabungan itu berkata walaupun siasatan DBKL setakat ini tidak diketahui, beberapa kes sebelum ini menunjukkan agensi penguatkuasaan itu tidak mengadakan rundingan antara pihak yang terlibat.
“Adalah penting bagi siasatan untuk mengadakan pertemuan antara semua pihak yang terlibat, termasuk pengadu. Ini membolehkan setiap pihak menyatakan pendirian mengenai perkara itu dalam usaha untuk berunding sebelum tindakan yang lebih serius boleh diambil.
"Ini juga memastikan orang ramai mendapat gambaran jelas tentang kejadian itu, bukannya maklumat yang terpecah-pecah dari semasa ke semasa yang mungkin disalahertikan dan boleh mencetuskan ketegangan dan kontroversi," katanya.

