Lim gesa PM masuk campur pembekuan sementara pekerja Indonesia ke M'sia
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk masuk campur dan menyelesaikan pembekuan sementara kedatangan pekerja dari Indonesia ke Malaysia.
Lim berkata, Ismail perlu sendiri mengendalikannya bagi memperbaiki hubungan dengan Indonesia dan pada masa sama membolehkan ekonomi berkembang bagi menangani kemerosotan ekonomi global yang dijangka berlaku pada akhir tahun ini.
"Di saat negara berdepan tekanan inflasi dan peningkatan harga barang yang diburukkan lagi dengan nilai ringgit yang merosot, kekurangan tenaga kerja asing telah menyebabkan banyak perniagaan untuk mengecilkan operasi dan menolak tempahan baru," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia mendakwa kekurangan 1.2 juta tenaga kerja telah menyebabkan kerugian sebanyak RM21 bilion dalam sektor perladangan dan industri sarung tangan.
Pada Rabu lalu, Indonesia membekukan sementara kemasukan pekerjanya ke Malaysia selepas Malaysia didakwa melanggar terma memorandum persefahaman (MOA) pekerja domestik antara kedua-dua negara yang ditandatangani hanya tiga bulan lalu.
Keputusan itu menyebabkan Ismail Sabri mengarahkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikannya dengan segera.
Lim mengkritik tindakan Ismail Sabri yang menyerahkan isu itu kepada dua kementerian tersebut, dan tidak menangani apa yang disifatkannya sebagai "isu diplomasi dan ekonomi besar" dengan sendiri.
"Bagaimana dua kementerian ini dapat menyelesaikan masalah apabila mereka yang bertanggungjawab mencetuskannya?
"Ismail Sabri perlu berhenti menyerahkan masalah dan memainkan peranan ketika ekonomi, komuniti perniagaan dan rakyat negara ini mahukan penyelesaian segera," katanya lagi.

