Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur ditubuhkan
Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur untuk membicarakan penjenayah perang, khususnya di Iraq, Lebanon dan Palestin telah ditubuhkan oleh Pertubuhan Keamanan Global Perdana yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur untuk membicarakan penjenayah perang, khususnya di Iraq, Lebanon dan Palestin telah ditubuhkan oleh Pertubuhan Keamanan Global Perdana yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penubuhan tribunal tersebut akan diumumkan secara rasmi sewaktu persidangan antarabangsa "Expose War Crimes Criminalise War" anjuran pertubuhan tersebut di Kuala Lumpur selama tiga hari mulai Isnin depan.
Tribunal itu akan beroperasi selepas tamat persidangan tersebut di mana ia sudah boleh menerima aduan mengenai jenayah perang.
Tribunal tersebut dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Haji Abdul Kadir Sulaiman., dengan sembilan anggota termasuk bekas Peguam Negara Amerika. Ramsay Clark dan Penasihat Undang-undang Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bagi penubuhan Negara Palestin, Profesor Francis A Boyle.
Anggota lainnya terdiri daripada bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Siti Norma Yaakob; peguam Tunku Datuk Dr Sofiah Jewa, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Mansor Ali; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Shaari Yusoff, peguam Mohamad Ariff Md Yusof dan Profesor undang-undang, Prof Shah Faruqi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Dr Mahathir pula menjadi Pengerusi Suruhanjaya Jenayah Perang bersama enam anggotanya, termasuk anggota Panel Undang-undang PAS, Musa Ismail. Anggota lainnya ialah peguam Datuk Dr Yaakob Hussain Merican, peguam Zainur Zakaria, peguam Datuk Azzat Kamaluddin dan Profesor undang-undang Prof Dr Mohd Akram Shair Mohamed daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).
"Suruhanjaya ini, dengan bukti yang diberikan oleh mangsa jenayah perang, akan mendakwa pemimpin-pemimpin negara yang melakukan jenayah perang," kata Dr Mahathir dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Bekas Perdana Menteri berkata, penubuhan tribunal itu bertujuan untuk membolehkan mangsa perang mendapat pembelaan terhadap jenayah yang dilakukan terhadap mereka.
Tiada kaitan dengan k'jaan
Katanya, mangsa akibat perang di Palestin, Lebanon dan Iraq boleh mengemukakan bukti kepada suruhanjaya untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, tribunal tersebut tidak boleh mendakwa mangsa Penjara Guantanamo kerana tidak ada bukti untuk mensabitkan kesalahan pelakunya.
"Terpulang kepada suruhanjaya dan peguam untuk menghukum ketua-ketua negara dan pihak lain yang menyebabkan jenayah perang," katanya.
Dr Mahathir berkata, Pertubuhan Keamanan Global Perdana yang menganjurkan persidangan ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan Malaysia.
Malah, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak dijemput untuk merasmikan atau menghadiri persidangan tersebut.
Beliau berkata, aduan yang membabitkan jenayah perang ini akan bermula selepas berakhirnya persidangan tersebut.
Turut ditubuhkan ialah pasukan undang-undang yang dipengerusikan oleh peguam Matthias Chang. Ia mempunyai lapan anggota terdiri bekas Timbalan Dekan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Profesor Salleh Buang, peguam Megat Shaharuddin Merican, peguam Jacqueline Chang, peguam Jasmin Jamaluddin, peguam Megat Suffian Merican, peguam Elaine Zarina Zainur dan peguam Avataran Singh.

