Rakyat rasa rasuah berleluasa seperti ketika skandal 1MDB - Rafizi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli membidas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang menyifatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transperency International tidak menggambarkan realiti.
Sebaliknya, tegas Rafizi, CPI diterima pakai di seluruh dunia dan digunakan pelabur asing untuk menilai tahap rasuah dalam negara.
"Lebih penting lagi, ia satu-satunya kayu ukur yang paling bebas mengenai tanggapan rakyat terhadap amalan rasuah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Rafizi, kedudukan Malaysia di tangga ke-62 daripada 180 negara ketika ini memberi gambaran bahawa rakyat merasakan amalan rasuah sudah sampai ke peringkat semasa skandal 1MDB memuncak pada 2017.
"Jika saya menjadi Azam Baki, saya akan meletakkan jawatan kerana di bawah kepimpinan saya segala usaha rakyat menolak rasuah seolah-olah sia-sia apabila rakyat merasakan keadaan sekarang tidak banyak berbeza dengan semasa skandal 1MDB memuncak," katanya.
Bekas ahli parlimen Pandan itu turut mendakwa bahawa CPI semakin merosot sejak Azam menerajui suruhanjaya pencegahan rasuah itu sejak pertukaran kerajaan persekutuan dalam tahun 2020.
Katanya, kedudukan Malaysia terus turun dari 62 (2017), 61 (2018), 51 (2019), 57 (2020) dan kembali pada 62 pada 2021.
"Kita tidak boleh salahkan rakyat biasa jika mereka merasakan amalan rasuah semakin berleluasa sehingga telah mencapai tahap 2017 ketika skandal 1MDB memuncak.
"Tanggapan rakyat ini dibentuk dengan mengamati tindakan dan gerak-geri SPRM (terutamanya ketua pesuruhjayanya) dalam menangani skandal-skandal besar yang melibatkan berbilion wang negara.
"Walaupun ada saja ikan-ikan bilis yang ditangkap setiap hari, tanggapan rakyat mengenai amalan rasuah tidak akan berubah jika tidak ada tindakan terhadap jerung-jerung besar," katanya.
Semalam, Azam berkata bahawa indeks itu hanya mengukur persepsi dan tidak mencerminkan realiti.
Kata Azan, Malaysia, yang berada di kedudukan ke-62 lebih baik daripada Vietnam (ke-87), Indonesia (96) dan Thailand (110).

