Pengerusi jawatankuasa teknikal Program Immunise4Life Dr Zulkifli Ismail menafikan khabar angin mengenai kekurangan bekalan vaksin influenza di negara ini.

Dalam satu kenyataan, Zulkifli memberi jaminan vaksin berkenaan boleh didapati di klinik dan hospital seluruh negara.

Dia berkata demikian bagi menepis laporan pada awal bulan ini yang mendakwa seorang doktor menerima memo berhubung kekurangan vaksin yang dikatakan hanya akan tersedia pada 2024.

“Sejak 8 Julai, beberapa organisasi media berita melaporkan bahawa seorang doktor tanpa nama menerima memo daripada sebuah pembekal yang mengatakan bahawa suntikan flu (influenza) hanya akan tersedia pada tahun 2024.

“Kami ingin menegaskan bahawa tiada kekurangan vaksin flu.

“Vaksin flu sebenarnya boleh didapati di banyak klinik dan hospital di seluruh negara,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Zulkifli meminta pihak media memeriksa perkara sebenar dengan pihak klinik dan bukannya sewenang-wenangnya memetik daripada sumber yang tidak dinamakan.

Pada masa sama, dia menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan flu tahunan, terutamanya mereka yang berada dalam kategori berisiko seperti wanita hamil, kanak-kanak, orang yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan warga emas.

“Kumpulan berisiko tinggi ini terdedah kepada flu teruk yang boleh mengakibatkan sindrom gangguan pernafasan akut, radang paru-paru, kegagalan pelbagai organ dan juga kematian,” katanya.