Guan Eng, Wee saling berbalah mengenai isu Mat Rempit
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan pemimpin DAP Lim Guan Eng saling berbalah mengenai isu penunggang motosikal yang menyertai perlumbaan haram di jalan raya.
Lim terlebih dahulu mendakwa Wee, yang juga presiden MCA, tidak mempunyai keazaman politik untuk membanteras golongan "Mat Rempit" seperti yang dilakukan terhadap mabuk.
“Jelas sekali, Mat Rempit adalah ancaman kepada keselamatan awam. Kebiasaannya, jumlah kematian yang begitu besar memerlukan tindakan segera oleh mana-mana menteri pengangkutan yang bertanggungjawab dan berwibawa.
"Malangnya, Wee nampaknya tidak mempunyai kehendak politik yang sama seperti yang dimilkinya dalam menangani pemanduan dalam keadaan mabuk bagi mengatasi bahaya yang dibawa oleh Mat Rempit," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam catatan Facebook kemudiannya, Wee berkata tindakan tegas diambil terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan dengan merujuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dipinda pada tahun 2020, yang memfokuskan kepada tiga isu utama - memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya atau melulu.
Justeru Wee berkata Lim tidak mengambil serius dan tidak meneliti pindaan undang-undang berkenaan.

"Adakah tiada kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal sehingga meragut nyawa sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan memerintah sebelum ini?
"Apakah PH tiada keinginan untuk segera mengatasi perkara ini?
"Ini berbeza sejak saya mula menjawat jawatan sebagai Menteri Pengangkutan. Saya segera meminda Akta 333 bagi meningkatkan hukuman kepada pesalah-pesalah jalan raya demi memastikan jalan raya kita selamat digunakan oleh sesiapa sahaja,” katanya lagi.
Selain itu, Wee berkata kementerian dan agensi berkaitan telah memperhebatkan kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, operasi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk lumba haram dan membentuk pasukan petugas khas untuk melihat punca kemalangan motosikal serta memberi cadangan untuk menanganinya.
Terdahulu, Lim memetik data polis yang menunjukkan bilangan pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan di bawah pengaruh alkohol dan dadah (DUI) ialah sebanyak 212 kes pada 2020 dan 39 kes pada 2019, 191 kes pada 2018, 212 kes pada 2017 dan 461 kes pada 2016.

Katanya, angka yang dikeluarkan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan laporan keselamatan jalan raya global dari Disember 2018 menunjukkan kurang daripada satu peratus kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini adalah berkaitan alkohol. Jelas Lim ia merupakan kadar kematian jalan raya yang paling rendah dalam dunia.
“Bandingkan 12,000 kematian yang besar dalam kemalangan maut berkaitan Mat Rempit dengan pemanduan dalam keadaan mabuk,” katanya merujuk kepada jumlah kemalangan maut berkaitan golongan Mat Rempit sejak 2009.
Lim berkata hukuman bagi memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan tanpa kematian dikenakan denda sehingga RM50,000 atau tujuh hingga 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah juga boleh dikeanakan denda antara RM1,000 hingga RM5,000, penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Ahli Parlimen Bagan itu menggesa menteri pengangkutan untuk mengenakan hukuman yang sama terhadap Mat Rempit, yang mendatangkan bahaya kepada pemandu lain di jalan raya dan lebuh raya.
Kenyataan Lim dibuat selepas kematian membabitkan lima individu - manakala dua lagi cedera - dalam kemalangan akibat lumba haram oleh sekumpulan Mat Rempit di Pulau Pinang minggu lalu.

