Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis panggil 26 peserta demo #Turun
Diterbitkan:  Jul 24, 2022 9:16 PM
Dikemaskini: 3:15 PM

Seramai 26 individu yang terlibat dalam perhimpunan #Turun baru-baru ini telah dipanggil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi untuk disoal siasat berhubung penyertaan mereka dalam protes yang diadakan pada Sabtu.

Mereka terdiri daripada aktivis pelajar, ahli politik, aktivis Bersih dan Suaram.

Mereka ialah Adun Ketari, Young Syefura Othman dari DAP, Ketua Pemuda PKR (AMK), Adam Adli Abdul Halim; Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy; Ahli Parlimen Kapar,Abdullah Sani Abdul Hamid dan aktivis Bersih Edlyn Beverly Joeman.

Selain itu tiga ahli PKR iaitu Mohd Afiq Ayob, Ng Yih Miin @ Bryan Ng dan Nur Farah Ariana Nurazam turut dipanggil pihak polis.

Pengasas bersama Undi18 Nur Qyira Yusri dan Tharma Pillai juga menyertai senarai individu yang dinamakan pihak polis hari ini.

Selain itu, ahli jawatankuasa eksekutif pusat Muda juga diarah hadir di IPD berkenaan termasuk bekas setiausaha agung Muda, Amir Abdul Hadi, setiausaha agung Muda, Amira Aisya Abdul Aziz dan naib presiden, Dr Thanussha Francis Xavier.

Mereka dipanggil untuk hadir di IPD Dang Wangi pada 2.30 petang esok (25 Julai) dan lusa (26 Julai).

Semalam, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Gerakan Turun, berkumpul di luar kompleks beli-belah Sogo bagi menuntut kerajaan menangani kenaikan harga barang.

Lima tuntutan mereka ialah: gaji menteri dipotong, subsidi kerajaan diteruskan, bantuan bermaruah diberikan kepada rakyat, mengawal harga barang dan menangani isu jaminan makanan.

Polis Kuala Lumpur semalam memakumkan telah mengenal pasti 30 daripada kira-kira 100 individu yang menyertai perhimpunan tersebut untuk disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam selepas perhimpunan itu, berkata kesemua individu yang telah dan belum dikenal pasti akan dipanggil pihak polis.

Noor Delhan berkata Jabatan Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 9(5) PAA 2012.

Lihat Komen
ADS