26 ketua cabang PKR setuju lantikan MPP lepas jumpa Anwar
Seramai 26 ketua cabang PKR dari kalangan kaum India sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) oleh Presiden parti Anwar Ibrahim.
Perkara itu dinyatakan selepas pertemuan dengan Anwar di Ibu Pejabat parti itu di Petaling Jaya semalam.
"Dalam perbincangan beberapa ketua cabang meluahkan pandangan tidak puas hati dengan pelantikan presiden.
"Tetapi akhirnya selepas mendengar pandangan presiden dan ketua cabang lain, semua dalam pertemuan sebulat suara setuju topik pelantikan ini perlu ditutup serta merta dan tidak diuar-uarkan lagi, di mana hak pelantikan adalah budi bicara mutlak Presiden.
"Semua pemimpin bersetuju melihat dan “move on” sebagai satu pasukan untuk menumpukan semua tenaga kepada memenangi PRU15," kata mereka dalam kenyataan media bersama hari ini.
Hadir dalam pertemuan itu ialah Manivannan Gowin dan R Yuneswaran, yang sebelum ini antara yang dilantik sebagai anggota MPP.
Hanya tujuh ketua cabang dari jumlah keseluruhan 33 ketua cabang kaum India tidak dapat hadir dalam pertemuan itu dengan permohonan maaf.
Untuk rekod, pada 20 Julai, Anwar melantik beberapa pemimpin bagi mengisi jawatan MPP.
Namun beberapa pemimpin akar umbi kaum India menyatakan rasa tidak puas hati dengan pelantikan individu tertentu dari kaum India ke jawatan pusat.
Sementara itu, dalam pertemuan tersebut Anwar mengingatkan bahawa PKR adalah parti berbilang kaum dan komited untuk membela semua kaum.
Dia juga menarik perhatian terhadap isu-isu kemiskinan, masalah pendidikan dan sosio ekonomi masyarakat India, isu kerakyatan, serta skandal saham Maika Holdings dan dana Mitra

