Adun Tronoh berehat dari politik lepas disabitkan kesalahan rogol
Parti Bangsa Malaysia (PBM) menerima permohonan Adun Tronoh, Paul Yong untuk berehat daripada terlibat secara aktif dalam politik sementara menunggu keputusan rayuan berhubung sabitan kes rogol terhadapnya.
Ketua penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu hari ini.
"Jawatan Bendahari Agung dan Pengerusi Negeri Perak yang disandang YB Paul Yong akan diganti dengan pelantikan baru dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong atas kesalahan merogol pembantu rumahnya pada 2019.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Yong untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Untuk rekod, Yong merupakan Adun DAP sebelum menyertai PBM.
Sementara itu, Zakaria berkata PBM akan mengadakan persidangan agung tahunannya di peringkat bahagian dari 30 Julai hingga 14 Ogos, dan di peringkat negeri dari 15 Ogos hingga 29 Ogos.
Persidangan bagi sayap wanita dan pemuda di peringkat negeri dan bahagian juga akan diadakan pada tarikh yang sama.
Bagaimanapun katanya, tarikh persidangan agung tahunan parti itu di peringkat pusat akan ditentukan dalam mesyuarat akan datang dan akan dimaklumkan kemudian.

