Khaled: Ikut haluan Umno, bukan presiden parti atau PM
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin mengingatkan ahli Umno agar bersatu dalam satu haluan untuk memenangi pilihan raya umum (PRU).
Jelasnya, haluan itu bukanlah haluan presiden parti atau perdana menteri mahupun mana-mana kumpulan atau kluster dalam Umno.
"Untuk kesatuan haluan ini dijayakan, segala fraksi dalam Umno mesti kembali bertaut. Jangan diturutkan sangat segala percaturan, perbalahan, politicking yang hanya melemahkan Umno secara dalaman,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Dia mengakui walaupun terdapat pergeseran dalam Umno, adalah penting untuk memastikan ia tidak membawa kepada kejatuhan parti.
"Benar, kita tidak akan boleh bersetuju dalam semua perkara. Tetapi jangan kerana perbezaan pandangan, kita memilih untuk berpecah. Salah begitu,” katanya.
Khaled berkata Umno perlu menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan sepenuh hati, dan begitu juga, perdana menteri perlu menyokong parti itu dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi.
"Kedua-duanya mesti menguat satu sama lain.Perdana menteri harus menjadi suara Umno dan presiden pula mesti menjadi jurubicara bangsa.
"Hanya dengan sedemikian, kerajaan dan parti terus sehaluan," katanya.
Keputusan Perhimpunan Agung Umno pada 15 Mei untuk meminda perlembagaan partinya telah disahkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Ini bermakna Majlis Tertinggi Umno kini boleh memutuskan untuk mengadakan pemilihan kepimpinan dalaman dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

