MP Beruas puji menteri isu pengambilan pekerja asing
Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini mendapat pujian daripada ahli parlimen pembangkang kerana disifatkan bertindak pantas terhadap aduan industri berhubung pengambilan pekerja asing.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Khoo Ham berkata pada 26 Julai di Parlimen dia menafikan dakwaan Menteri Sumber Manusia M Saravanan bahawa majikan boleh memohon pekerja asing secara dalam talian tanpa ejen.
Susulan itu, Ngeh berkata dia dipanggil untuk dua pertemuan dengan Saravanan di mana yang pertama memberikan bukti bahawa ejen membayar rasuah RM1,500 kepada mereka di Kementerian Sumber Manusia bagi setiap pekerja asing yang dicari oleh majikan.
"Saya juga menyoalnya kenapa permohonan hanya boleh dibuat di pejabat KSM, Putrajaya dan temuduga hanya boleh dibuat di pejabat tersebut.
"Ini membolehkan sesetengah pihak dalaman yang menguasai sistem permohonan dan penepatan temujanji menuntut rasuah diberikan," katanya.

Ngeh berkata tiga hari selepas aduannya di Dewan Rakyat, KSM mengeluarkan kenyataan membenarkan majikan menghadiri temuduga di negeri masing-masing.
“Selepas pengumuman tersebut, pegawai-pegawai KSM telah bekerja sampai larut malam pada hari yang sama untuk memberitahu majikan-majikan supaya hadir di pejabat KSM negeri masing-masing untuk temuduga pada tarikh-tarikh yang ditetapkan untuk mereka.
"Ramai majikan terperanjat dengan perkembangan tersebut dan telah menghubungi saya berterima kasih kepada saya kerana berani membongkarkan pembohongan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia dalam Parlimen selama ini.
"Saya sangat gembira dan mengalu-alukan perkembangan positif ini," katanya.
Sementara itu, Ngeh berkata proses itu boleh dipertingkatkan lagi.
Sebagai contoh, katanya, penternak ayam perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Veterinar untuk menggaji pekerja asing dan kemudian ditemuduga oleh KSM sekali lagi.
Ngeh berkata proses permohonan sepatutnya hanya perlu mengambil satu langkah.
Tambahnya, levi yang perlu dibayar bagi pengambilan pekerja asing hanya boleh dibayar di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. Ngeh mencadangkan agar proses ini dipindahkan secara dalam talian.
"Terdapat juga tuduhan rasuah berleluasa dalam KDN berkenaan dengan permohonan untuk pekerja asing.
"Saya berharap KDN juga mengikut contoh yang telah ditunjukkan oleh KSM dan membenarkan semua urusan berkenaan dengan pekerja asing dapat dilaksanakan di setaip pejabat immigresen di seluruh negara," katanya.

