Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Mesyuarat MT BN pada 15 Ogos bincang persiapan PRU
Diterbitkan:  Aug 6, 2022 10:24 PM
Dikemaskini: 2:24 PM

Mesyuarat Majlis Tertinggi BN akan diadakan pada 15 Ogos ini bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

The Star Online hari ini memetik "sumber pimpinan tertinggi" yang berkata mesyuarat itu akan diadakan bagi mendapatkan maklum balas daripada pemimpin parti komponen dalam gabungan itu.

“(Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan) dijangka berkongsi dengan kita kekuatan dan kelemahan BN di peringkat negeri,” kata seorang sumber daripada BN.

Mohamad kini dalam siri jelajah ke seluruh negara bersama pemimpin BN lain.

Ketua-ketua parti komponen BN juga dilaporkan telah dimaklumkan mengenai mesyuarat yang akan datang oleh setiausaha agung BN, Zambry Abdul Kadir walaupun jemputan rasmi masih belum dihantar.

Sumber berkata PRU15 berkemungkinan diadakan selepas pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Oktober, yang akan menyaksikan pelbagai imbuhan dan insentif akan diberikan di bawah belanjawan berkenaan.

Sumber itu juga berkata mereka mempunyai jadual "ketat" untuk melakukan persiapan PRU15 dan mendesak pilihan raya diadakan pada November.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin Umno yang lantang mahukan pilihan raya umum lebih awal dan kali terakhir dia membuat gesaan itu ialah Khamis lalu (4 Ogos).

Gesaan itu dibuat empat hari selepas tamatnya Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membubarkan parlimen sehingga 31 Julai.

Lihat Komen
ADS