DBKL janji selesai isu pengusiran peniaga Jalan Tun Sambanthan 3
Seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjanji akan menyelesaikan isu tapak 10 peniaga yang berniaga lebih 40 tahun di Jalan Tun Sambanthan 3, Brickfields.
Rajah Symon yang juga pengerusi MIC Wilayah Persekutuan berkata bahawa dia akan menyusun perjumpaan antara Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan peniaga dalam masa terdekat.
"Mereka berniaga di sini lebih 40 tahun. Kebanyakannya adalah peniaga gerai makanan.
"Tanah diduduki adalah milik DBKL. Mereka membayar cukai tanah dan cukai pintu selama ini.
"Jadi, saya berpendapat mereka berhak berniaga di sini," katanya kepada Malaysiakini selepas melawat peniaga-peniaga itu, semalam.
Terdahulu, Rajah memberitahu bahawa Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang mempunyai bangunan di belakang gerai makanan itu kini meminta peniaga-peniaga itu berpindah.

"Saya diberitahu bahawa RAC merancang menggunakan tapak itu untuk tujuan menyediakan utiliti.
"RAC juga sedia memberi premis perniagaan kepada peniaga di dalam bangunannya. Namun, peniaga berasa membuka gerai makanan di dalam bangunan akan menjejaskan perniagaan mereka.
"Jadi, mereka nak kekal di sini," katanya.


