Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerjasama PAS-Umno: 'Kalau tak dapat menyeluruh, antara negeri pun cukup'

Timbalan Pengerusi Umno Perlis, Zahidi Zainul Abidin berkata pihaknya di peringkat negeri sentiasa bersedia dan tiada sebarang masalah untuk meneruskan kerjasama politik dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun, Zahidi berkata, meskipun dia menyokong penuh agar kerjasama itu bukan di negeri tertentu sahaja, ia mungkin tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Tetapi, jika ada pendapat yang bercanggah, sebab kadang-kadang semuanya tak selari dari kalangan beberapa orang pemimpin maka jika tidak dapat secara menyeluruh, kecil-kecil antara negeri pun dah cukup baik.

"Apa yang penting kekuatan ummah ini perlu dilaksanakan bagi pilihan raya ini," katanya kepada Malaysiakini.

Di peringkat negeri, kata Zahidi, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan PAS.

Zahidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang dan ruang kerjasama antara PAS dan Umno melalui MN menjelang PRU15.

Terdahulu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, kerjasama antara parti itu dengan Umno dalam PRU15, jika dilaksanakan, perlu dibuat secara menyeluruh dan bukan di negeri tertentu sahaja.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya berkenaan tempoh masa yang diberikan kepada Umno untuk membuat keputusan berkaitan MN dan Perikatan Nasional (PN).

Tak boleh paksa

Mengulas lanjut, Zahidi berkata ruang dan peluang kerjasama di setiap negeri berbeza dan jika kepimpinan negeri tidak dapat mencapai kata sepakat maka bergerak secara solo adalah jalan terbaik.

"Dia macam ini, setengah negeri kita tengok macam di Terengganu dan Kelantan pemimpin kedua-dua parti itu tak boleh kerjasama tetapi banyak lagi negeri lain yang kita lihat boleh bekerjasama, apa salahnya kita kerjasama dengan negeri yang boleh kerjasama.

"Bagaimanapun, dengan negeri yang tidak boleh kerjasama kita, biarlah mereka bergerak sendiri secara solo. Nak paksa pun tak boleh," katanya.

Umno memeterai piagam MN dengan PAS ketika kedua-dua parti itu menjadi pembangkang, namun menyertai Perikatan Nasional - yang ditunjangi Bersatu - selepas membentuk kerajaan melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Hubungan Umno-PAS kemudian menjadi semakin tegang apabila pemimpin kedua-dua parti - termasuk di peringkat tertinggi - saling berbalas kecaman.

Malah ada desakan daripada pihak tertentu agar MN diisytiharkan sudah berkubur.

Lihat Komen
ADS