Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu projek kapal tempur LCS - Mat Sabu, Liew sanggah Najib
Diterbitkan:  Aug 9, 2022 4:22 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Bagi menyanggah dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak yang cuba mengelirukan orang ramai, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya Liew Chin Tong mengimbas kembali usaha pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk memperbetulkan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang bermasalah itu.

Bekas menteri pertahanan itu dan timbalannya, hari ini mengeluarkan kenyataan bersama selepas Najib berulang kali menuduh kerajaan PH menangguhkan projek berkenaan.

“Pada 30 Mei 2018, Mohamad mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dalam mesyuarat jemaah menteri yang pertama beliau sertai.

‘Kerajaan PH telah cuba sebaik mungkin untuk menyelamatkan projek LCS.

“Ambrin Buang, pengerusi JKSTUPPK, membentangkan laporan siasatan LCS kepada Kementerian Pertahanan pada 20 Ogos 2019. Pegawai Kementerian, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia, dan pihak kontraktor juga berusaha mencari jalan penyelesaian,” kata Mohamad Sabu dan Liew.

Menurut mereka, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad turut diberi taklimat mengenai perkara berkenaan oleh Ambrin, Mohamad, Liew dan Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Mohd Reza Sany dan pegawai kanan kementerian pertahanan pada Februari 2020.

Susulan itu, kedua-dua mereka berkata Mahathir memutuskan pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan pengurusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dirombak.

“Projek LCS dianggap sebagai projek sakit dan akan menerima suntikan dana untuk ganti balik dana yang disonglap.

“Kementerian Pertahanan diarahkan untuk membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH.

“Projek LCS telah mengalami kelewatan sejak 2016. Reka bentuk terperinci (detailed design) yang sepatutnya siap pada November 2016 belum lagi dimuktamadkan sehingga hari ini.

“Kerajaan PH telah membuat keputusan mengenai hala tuju projek ini pada Februari 2020 berpandukan cadangan JKSTUPKK namun kerajaan jatuh pada bulan tersebut juga.

“Najib sedang cuba mengelirukan rakyat dan salahkan kerajaan PH padahal beliau dan Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab atas kegagalan projek LCS kerana meluluskan projek ini tanpa rundingan teliti dengan pakar terdahulu,” kata mereka.

Najib berhujah bahawa kerajaan PH tersilap menghentikan projek LCS pada September 2019, dengan mendakwa kerja-kerja telah siap 50.15 peratus setakat Januari 2018, empat bulan sebelum PH memenangi pilihan raya umum.

Bagaimanapun, katanya, antara Januari 2018 dan Januari 2020, untuk tempoh 24 bulan, projek itu hanya mencatatkan kemajuan sebanyak 6.24 peratus.

Justeru, katanya, PH adalah pihak yang melengahkan, menangguhkan dan membekukan projek itu.

Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendedahkan bahawa ia mengadakan sembilan prosiding berhubung isu LCS dari 18 Nov 2020 hingga 8 Mac tahun ini. Jawatankuasa itu juga telah memanggil beberapa saksi.

Projek LCS adalah kontrak RM9 bilion untuk mendapatkan enam kapal bagi kegunaan tentera laut, yang dimulakan pada 2011, tetapi sehingga hari ini, tidak ada satu pun kapal yang siap sedangkan kerajaan sudah membayar RM6 bilion. Kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi kini jangkaannya adalah kapal pertama mungkin hanya akan dihantar menjelang 2024.

Perkara lain yang menjadi isu termasuk Kementerian Pertahanan memilih reka bentuk berbeza untuk kapal itu bertentangan dengan kehendak tentera laut serta kemungkinan salah laku kerajaan BN pimpinan Umno dari 2011 hingga 2018.

Selain Najib dan Zahid, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein juga dikaitkan dalam kegagalan LCS itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS