Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terowong dasar laut: Dua tanah bernilai RM300j, kata saksi

Seorang pengarah firma jurunilai swasta memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, dua bidang tanah yang dikaitkan dengan projek Terowong Dasar Pulau Pinang bernilai RM300 juta.

Kenyataan itu berbeza daripada kenyataan dua pegawai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) negeri pada Mei lalu yang memberitahu tanah terbabit bernilai hanya RM80 juta.

Dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng pagi tadi, Pengarah GE Tan Valuers Sdn Bhd, Tan Gaik Eng, berkata tanah terbabit yang dirujuk sebagai Lot 702 dan Lot 713 masing-masing bernilai RM135 juta serta RM165 juta.

Dia memberi keterangan di hadapan hakim Azura Alwi.

Saksi pendakwaan ke-30 itu seterusnya berkata laporan penilaian ke atas Lot 702 dibuat pada 30 Dis 2013, manakala bagi Lot 713 dibuat pada 5 Jan 2016.

Kedua-dua tanah itu terletak di Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Saksi itu menambah firmanya diupah oleh Ewein Berhad (Ewein) untuk menilai kedua-dua hartanah tersebut.

Diasaskan oleh mendiang Ewe Swee Keng, Ewein adalah sebahagian daripada usaha sama dengan Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd untuk projek pembinaan terowong berkenaan.

Pada 16 Dis tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengemukakan kepada mahkamah kenyataan diberikan Ewe semasa disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli perniagaan itu - yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 - meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Okt tahun lepas.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Lim, Gobind Singh Deo, Tan berkata dia tidak mengetahui penilaian RM80 juta tanah yang dilakukan oleh dua pegawai JPPH negeri, Zakariya Nayan dan Nurul Asshima Aminullah.

Zakariya dan Nurul Asshima adalah saksi pendakwaan ke-25 dan ke-26 yang memberi keterangan mengenai nilai dua bidang tanah semasa perbicaraan pada 27 Mei.

Perbicaraan akan disambung semula pada 29 Sept ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS