Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Firma peguam Zaid tarik diri jika rayuan SRC Najib diteruskan
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 4:30 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Pasukan peguam baru Najib Razak akan sekali lagi memohon penangguhan pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah RM42 juta SRC International, minggu depan.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah tertinggi negara masih memutuskan untuk meneruskan pendengaran rayuan, peguam dari Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners yang diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik akan menarik diri daripada mewakili Najib dalam perkara itu.

Adalah dipercayai perkara itu dimaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan semasa pengurusan kes petang tadi.

Pengurusan kes itu adalah susulan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru bagi membatalkan sabitannya terhadap tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC.

Pada Isnin depan, Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar terlebih dahulu pemohonan memasukkan bukti baru, kemudian diikuti dengan rayuan utama SRC yang turut menyentuh mengenai hukuman penjara 12 tahun Najib dan denda RM210 juta.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan pasukan peguam yang baru dilantik mewakili Najib agi rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, hari ini memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa mereka akan menarik diri sekiranya mahkamah tetap akan terus mendengar rayuan itu minggu depan.

Media difahamkan peguam daripada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh, tidak bersedia untuk meneruskan rayuan berkenaan kerana ia melibatkan isu penting dan memerlukan masa untuk persediaan kerana ia bukan rayuan biasa.

Oleh itu, jika mahkamah tetap mahu prosiding rayuan utama diteruskan pada Isnin ini, peguam terlibat tidak mempunyai pilihan selain menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Difahamkan, perkara itu dimaklumkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zahara Wan Yusoff dan Siti Hajar Mustaffa semasa pengurusan kes di hadapan mereka yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul bertindak bagi pihak responden (Pendakwa Raya) manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan M.Rueben mewakili Najib (perayu).

Pada 26 Julai, Najib telah memberhentikan dengan serta-merta Tetuan Shafee & Co daripada bertindak sebagai peguam yang mewakilinya dalam rayuan sabitan dan hukuman membabitkan RM42 juta dana SRC International. Bagaimanapun, Najib berkata bekas peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah akan terus bertindak sebagai peguam cara dalam kes lain yang dihadapinya di mahkamah.

Najib kemudian melantik Hisyam daripada Tetuan Hisyam Teh sebagai peguam utamanya manakala rakan kongsi ZIST, Liew dan Rueben sebagai peguam baharunya.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Hari ini, media juga dimaklumkan bahawa pendengaran usul untuk mengemukakan bukti baharu akan didengar terlebih dahulu pada Isnin dan jika usul itu ditolak, mahkamah akan terus mendengar rayuan utama.

Bagaimanapun, media diberitahu bahawa peguam Najib akan membuat permohonan lisan di mahkamah untuk menangguhkan rayuan utama selepas selesai hujah bagi usul bagi memasukkan bukti baharu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Pada Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah menyalahgunakan RM42 juta daripada dana SRC.

Kes itu di peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada tahun lepas, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan bekas perdana menteri itu

Lihat Komen
ADS