Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu LCS: Bersatu serah memorandum pada Agong gesa RCI

Bersatu telah menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini meminta Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat projek kapal tempur pesisir (LCS).

Ketua Penerangannya Wan Saiful Wan Jan berkata parti itu mahu kerajaan memulakan RCI bagi menyiasat kapal yang tidak dihantar seperti yang dijadualkan.

“Kes ini adalah kes besar yang telah mengambil sejumlah besar dana rakyat.

"Kami juga akan mencadangkan menteri dari Bersatu menyokong idea daripada parti lain untuk memulakan RCI mengenai perkara ini," katanya.

Penyerahan memorandum itu berlangsung di luar Istana Negara pada 3.50 petang tadi.

Wan Saiful menyerahkan memorandum itu kepada setiausaha sulit kanan Agong Nazim Mohd Alim.

Wan Saiful berkata RCI perlu ditubuhkan kerana eksekutif tidak akan dapat menyiasat perkara itu secara adil.

“Ini kerana jika kita minta eksekutif kita sekarang menyiasat perkara ini, adalah tidak bermoral kerana kebanyakan nama dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) (mengenai LCS) adalah orang yang mempunyai pengaruh tinggi dalam eksekutif.

"Kita bimbang jika kita menyerahkan perkara ini kepada eksekutif, beberapa kuasa lain akan terlibat dan siasatan tidak akan berjalan dengan jayanya," tambahnya.

Bekas penasihat khas menteri pendidikan itu turut menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan segera berhubung isu itu.

"Terlalu banyak bantahan awam (mengenai skandal) dan oleh itu saya berharap perdana menteri menubuhkan RCI secepat mungkin," kata Wan Saiful.

Minggu lalu, PAC membentangkan laporannya mengenai perolehan LCS kepada Dewan Rakyat, yang menonjolkan banyak kelemahan dalam projek itu.

Projek itu telah diluluskan pada 2011. Pada masa itu, Ahmad Zahid Hamidi adalah menteri pertahanan manakala Najib adalah perdana menteri dan menteri kewangan.

Lihat Komen
ADS