Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedah nak pinda peraturan kecil hiburan, pertunjukan
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 7:24 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Kerajaan Kedah bercadang untuk mengkaji peraturan kecil berkaitan hiburan dan pertunjukan di negeri itu agar ia sesuai dengan budaya di negeri terbabit.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Mohd Hayati Othman, memberitahu keputusan itu dibuat selepas dia mengadakan pertemuan dengan wakil kompleks Aman Central untuk mendapatkan maklumat mengenai program Minggu Fesyen Kedah (KFW) yang menarik perhatian ramai sejak semalam.

Kata Mohd Hayati, pertemuan itu juga dihadiri wakil Majlis Bandaraya Alor Setar dan Pejabat Daerah Kota Setar.

"Kerajaan negeri berhasrat untuk mengkaji bagi memperkemaskan peraturan-peraturan kecil yang berkaitan hiburan dan pertunjukan supaya lebih menepati adat budaya dan tatasusila Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu kelibat individu yang berpakaian mencolok mata di KFW menarik perhatian ramai selepas ia tular di media sosial.

Ia menjadi polemik kerana Kedah ketika ini ditadbir oleh PAS dengan sokongan BN dan Perikatan Nasional.

Mengenai insiden itu, Mohd Hayati berkata, kerajaan negeri difahamkan individu terbabit adalah seorang transgender yang beraksi seperti model serta menggayakan pakaian yang tidak sesuai.

Dia juga, kata Mohd Hayati, mengambil gambar serta video aksinya sebelum dimuat naik ke media sosial.

"Tindakan individu berkenaan dipercayai adalah tindakan peribadi yang dilakukan setelah acara pertunjukan fesyen berkenaan tamat.

"Sehubungan itu, pihak kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan peraturan dan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Lihat Komen
ADS