Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM jumpa delegasi PN: Wan Saiful tuduh Ismail Sabri 'tipu'
Diterbitkan:  Aug 15, 2022 5:28 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob 'menipu' berhubung kenyataan dia sudah mengadakan pertemuan bersama pimpimpin Perikatan Nasional pada dua minggu lalu.

Sebaliknya Wan Saiful menyoal mengapa Ismail seakan takut untuk berjumpa dengan pemimpin dalam kerajaan gabungan yang sama.

“Kalau setakat jumpa waktu lunch (makan tengah hari) itu bukan perjumpaan rasmi yang sepatutnya.

“Bagi saya kenyataan Ismail Sabri Yaakob mendakwa telah bertemu delegasi PN adalah penipuan dan tidak beradab.

“Ismail perlu jelaskan kenapa dia menipu media dan rakyat,” dakwanya pada satu kenyataan hari ini.

Pada 13 Ogos, Ismail Sabri berkata dia telah mengadakan pertemuan bersama PN pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat.

Ia turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung PN Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Pertemuan sudah dilakukan, PN dah sampaikan pandangan mereka dan saya pun dah sampaikan pandangan saya, jadi setakat itu sahaja.

“Saya juga rasa perkara ini tidak perlu lagi dibangkitkan, tumpuan kita sekarang ni adalah untuk menyelesaikan isu rakyat,” kata Ismail, lapor media tempatan.

Bagaimanapun, BH online hari ini melaporkan Ahmad Samsuri (gambar, atas) sebagai berkata PN sedang mengusahakan pertemuan baru dengan Ismail Sabri selepas pertemuan dua minggu lalu.

Kata Ahmad Samsuri, isu yang dibangkitkan PN dalam pertemuan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat itu memerlukan satu ruang baru bagi membolehkan delegasi penuh untuk berjumpa dengan perdana menteri.

Manakala pertemuan santai lalu, jelas Ahmad yang juga menteri besar Terengganu lebih menumpukan kepada isu yang tertangguh antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Adakah Ismail takut delegasi PN tanya?

Sementara itu, Wan Saiful mengucapkan berterima kasih kepada Ahmad Samsuri yang mengesahkan kenyataannya berhubung pertemuan tersebut.

Wan Saiful berkata wakil rasmi PN yang dinamakan merupakan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Penolong Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri dan Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali.

“Apa yang Ismail takut sangat? Nak jumpa kawan segabungan secara rasmi pun tak berani?

“Atau ada perkara yang Ismail mahu sembunyi dan takut delegasi PN tanya? Maklumlah kita sudah tahu mengenai pelbagai skandal seperti LCS (kapal tempur pesisir) yang kena atas batang hidung pemimpin Umno sekarang ini,” katanya

Lihat Komen
ADS