Polis siasat dakwaan pegawai Ramasamy minta wang
Polis Pulau Pinang telah memulakan siasatan berhubung dakwaan bekas kakitangan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy meminta wang daripada pemohon unit rumah kos rendah dan mampu milik di negeri itu.
Sumber berkata polis telah mengambil keterangan dua wartawan yang hadir ke sidang media yang di lobi pejabat kerajaan negeri di Komtar pada 9 Mac lalu.
Dakwaan itu dibuat oleh dua bekas kakitangan Ramasamy dan wakil beberapa NGO Pulau Pinang pada sidang media itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan wartawan, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
Dalam pada itu, Ramasamy memberitahu Malaysiakini dia menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan mengenai perkara itu.
Dia berkata telah memecat dua kakitangan yang mengadakan sidang media itu, iaitu K Eelamperu Valuthi dan U Thava Kumar, kerana terdapat aduan terhadap mereka.
Katanya lagi, Eelamperu Valuthi dan Thava Kumar membuat laporan pada SPRM dan polis selepas mereka dipecat.
Eelamperu Valuthi adalah pembantu peribadi Ramasamy manakala Thava Kumar merupakan pemandunya.
Mereka turut menyerahkan memorandum mengenai perkara itu kepada wakil Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Komtar.
'Tiada aduan rasmi dibuat'
"Salah seorang pengadu, Eelamperu Valuthi, mahu saya ambil tindakan terhadap pembantu khas (tertuduh) tetapi bagaimana saya boleh ambil tindakan apabila tiada aduan rasmi terhadap kakitangan?" soalnya.
Jelasnya, pembantu khas yang dikaitkan dengan rasuah itu pada mulanya mengendalikan soal perumahan tetapi kemudian mengendalikan isu kewarganegaraan.
Dia letak jawatan pada 2018 untuk menjalankan perniagaan sendiri, kata Ramasamy lagi.
Pada sidang akhbar Mac lalu, Eelamperu Valuthi berkata dia berhenti kerja sebagai pembantu peribadi Ramasamy kerana tidak dapat menerima apa yang didakwa sebagai penyelewengan rakan sekerjanya, yang didakwa meminta wang daripada pemohon rumah kos rendah.
“Saya berhenti kerja pada 2019 kerana saya tidak lagi boleh menerima dan bertolak ansur dengan kesalahan pembantu khas Ramasamy.
“Saya menghantar surat kepada Chow menyatakan amalan salah embantu khas itu pada 2019 selepas saya berhenti kerja namun tiada tindakan terhadapnya,” katanya.
NGO lain turut menyertai sidang media itu antaranya Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang bersama presidennya Sophian Mohd Zanin, dan setiausaha Eksekutif Urban Life Volunteers Sarah Abdullah.

