Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suami ketua hakim bukan ahli parti politik - Muda
Diterbitkan:  Aug 19, 2022 1:53 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Pemimpin Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut tampil mempertahankan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang menjadi mangsa serangan susulan tulisan yang dikatakan dibuat suaminya Zamani Ibrahim.

“Kegilaan apakah ini,” tulis Lim Wei Jiet, pengasas Muda yang kini menjadi pemimpin anggota jawatankuasa eksekutif parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu.

Selain Muda, DAP turut menempelak serangan di Internet terhadap integriti Tengku Maimun.

Kecaman itu timbul ketika Tengku Maimun sedang mengetuai panel hakim dalam kes rayuan akhir Najib.

Semalam, bekas  Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Hamidah Osman membuat laporan polis berhubung tulisan di Facebook yang dipercayai dibuat oleh Zamani.

Tulisan itu tidak dapat lagi diakses hari ini.

Nooryana Najwa antara pihak yang berkongsi tulisan yang dikatakan dibuat Zamani itu di Instagram dan mengaitkannya dengan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi ayahnya.

Sementara itu, terdapat serangan lain ditujukan pada Zamani, antaranya dakwaan dia menggunakan kamera telefon dalam mahkamah.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada orang itu ialah Zamani atau sama ada dia benar-benar membuat rakaman.

Berhak beri pandangan

Menulis di media sosial, Lim berkata suami Tengku Maimun bukan ahli mana-mana parti politik dan berhak memberi pandangan terhadap keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu.

Zamani didakwa menulis tentang kegembiraannya melihat Najib dijatuhkan daripada tampuk kekuasaan.

Tulisan itu, yang dibuat pada 11 Mei 2018, beberapa hari selepas kekalahan BN, bagaimanapun tidak lagi boleh dibaca hari ini.

Sementara itu, Lim yang juga seorang peguam membangkitkan persoalan kenapa Najib tidak membuat permohonan bagi menukar Tengku Maimun sebagai hakim dalam kes rayuan akhirnya lebih awal.

Posting Mei 2018. Jika ini jadi isu, kenapa Najib tak pohon recuse Tengku Maimun dari awal lagi? 

“Sekarang baru nak jadikan isu,” katanya.

Sementara itu, Lim juga berkata terdapat tulisan lain yang menunjukkan Zamani mengaku berkawan dengan pemimpin Umno seperti Naib Presiden Mohd Khaled Nordin dan Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

Najib, bekas perdana menteri dan menteri kewangan sebelum ini disabitkan bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Prosiding di Mahkamah Persekutuan itu hari ini masuk hari keempat, yang menyaksikan pasukan pendakwaan membuat penghujahan mereka.

Dalam sesi sebelum ini, mahkamah membuat keputusan yang tidak menyebelahi Najib.

Mahkamah menolak permohonan peguam baru Najib untuk menangguhkan kes dan menarik diri atas alasan tidak sempat membuat persediaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS