Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH bertanding PRU15 guna satu logo
Diterbitkan:  Aug 25, 2022 9:27 AM
Dikemaskini: 9:18 AM

Pakatan Harapan (PH) akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menggunakan satu logo iaitu logo gabungan itu sendiri.

Bagaimanapun Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata, logo berkenaan akan direka bentuk semula bagi memberi imej baru dalam menghadapi PRU.

"Satu reka bentuk baharu logo tersebut juga akan dipertimbang bagi memberi imej dan nafas baharu dalam usaha gerak kerja PRU15," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau.

"Dalam menghadapi PRU15, Pakatan Harapan akan memberi fokus kepada usaha konsolidasi bagi memperkukuh Pakatan Harapan itu sendiri,” kata mereka.

Loke sebelum itu berkata pada dasarnya parti-parti dalam PH bersetuju bahawa gabungan itu akan menggunakan satu logo pada PRU15, namun PKR mencadangkan agar perubahan kecil dilakukan untuk menjenamakan semula imej PH.

"Saya gembira kerana kami telah memutuskan prinsip untuk menggunakan satu logo untuk PRU15," katanya.

Pada PRU14, PH bertanding di bawah logo PKR berikutan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan pendaftaran gabungan itu.

Loke juga berkata dia menjangkakan rundingan pembahagian kerusi dan manifesto bersama akan dimuktamadkan pada akhir September.

Lihat Komen
ADS