Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya kesihatan di tengah-tengah keadaan politik yang tidak stabil ketika ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata negara memerlukan badan pelaksana yang kukuh khususnya Suruhanjaya Pembaharuan Penjagaan Kesihatan bagi memastikan pelaksanaan cadangan Kertas Putih Kesihatan (HWP).

"Suruhanjaya ini boleh memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem kesihatan kita walaupun berlaku perubahan dalam lanskap politik.

"Malaysia perlu memanfaatkan masa yang unik ini dan mengumpulkan keazaman politik untuk mendorong usaha pembaharuan yang telah lama tertangguh ini.

"Kami mengharapkan strategi HWP untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang proaktif dan preventif, dan kami berikrar memberi sokongan kepada kementerian kesihatan dalam usaha ini," kata kumpulan itu.

Kertas putih kesihatan diketengahkan dalam Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 yang baru selesai, dan dijangka dibentangkan di parlimen pada November atau Disember depan, menurut kumpulan itu.

Jun lalu, kerajaan dilapor akan membentangkan kertas putih kesihatan di parlimen pada Nov, termasuk penubuhan suruhanjaya kesihatan.

Suruhanjaya itu ditugaskan untuk memantau, menasihati dan melaporkan secara bebas mengenai status pelaksanaan pembaharuan penjagaan kesihatan kepada kerajaan.

Sambil memuji usaha kementerian menumpukan isu penjagaan kesihatan dan kesejahteraan am, MHC menegaskan bahawa tanggungjawab untuk mewujudkan Malaysia yang sihat tidak seharusnya dipikul oleh satu kementerian.

Oleh itu, mereka berkata kertas putih itu mesti merangkumi perubahan terancang dan sistemik merentasi pentadbiran awam, daripada pelbagai kementerian dan agensi untuk mewujudkan Malaysia yang sihat.

Dalam perkembangan berkaitan, MHC berkata HWP juga perlu mempunyai cadangan untuk menambahbaik proses pengambilan kakitangan kesihatan di kementerian berkenaan.

“Walaupun kami mengalu-alukan 4,000 jawatan tetap yang diumumkan pada 16 Ogos, kita mesti berusaha untuk menangani punca masalah ini.

"Kertas putih ini akan berfungsi sebagai platform yang sesuai untuk mengukuhkan keseluruhan proses pengambilan kakitangan, dari seawal peringkat latihan ijazah," katanya.

MHC menambah, HWP juga harus menyentuh mengenai isu untuk meningkatkan kebajikan semua kakitangan penjagaan kesihatan, khususnya berhubung syarat perkhidmatan mereka.

"Ini haruslah termasuk menyemak semula kadar imbuhan, pengagihan beban kerja yang adil di kalangan pekerja penjagaan kesihatan, budaya anti-buli dan selamat di tempat kerja," katanya.

[Baca berita asal]