ULASAN | MTUC yakin bahawa, pihak kerajaan dan juga majikan sudah tentu tidak mahu melihat pekerja-pekerja ini keluar di jalanan untuk membuat bantahan ataupun berpiket dalam menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kerana tidak mendapat haknya untuk menikmati gaji minimum yang sememangnya perlu dilaksanakan.

MTUC memandang serius terhadap perlaksanaan gaji minimum untuk pekerja-pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah-sekolah dan bangunan kerajaan yang masih tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya sehingga hari ini.

Tinjauan pihak MTUC terhadap pekerja-pekerja tersebut didapati gaji minimum masih tidak dilaksanakan oleh syarikat kontraktor yang mengupah pekerja-pekerja tersebut dan ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan.

MTUC juga menerima aduan daripada pengawal keselamatan di sekolah-sekolah mahupun di bangunan kerajaan yang tidak dibayar kadar bayaran kerja lebih masa setelah kerja lebih masa dilakukan.

Jelas ini adalah suatu perkara yang dikategorikan sebagai buruh paksa yang serius terhadap pekerja-pekerja tempatan kita.

Gaji minimum telah diumumkan dan dilaksanakan pada 1 Mei 2022 sempena sambutan Hari Pekerja Sedunia. Ini adalah usaha untuk menghargai keringat dan usaha kaum pekerja di Malaysia dalam sama-sama membangunkan ekonomi Keluarga Malaysia selepas pandemik Covid-19.

Tetapi, amatlah malang kepada golongan pekerja tersebut apabila tidak dapat menikmati hak mutlak mereka sebagai seorang pekerja. Harus diingatkan bahawa hak pekerja adalah hak asasi manusia tetapi ianya tidak berlaku sama sekali.

Keengganan dan ketidakpatuhan pihak majikan dalam sektor ini jelas menunjukkan sikap ketidakpritatinan majikan dalam menghormati kedaulatan undang-undang negara.

Gambar hiasan, protes pekerja pembersihan di hospital.

Kita melihat sekiranya ini berlaku kepada golongan rentan seperti pekerja-pekerja migran, maka ramai akan bersuara dalam mendapatkan keadilan untuk mereka.

Tetapi, naratifnya berbeza apabila perkara ini berlaku kepada pekerja-pekerja tempatan.

Boleh dikatakan, tidak ramai yang ingin ambil tahu dan tidak ada tekanan berterusan yang dikenakan terhadap pihak majikan mahupun kepada pihak kerajaan di bawah agensi Kementerian Sumber Manusia mahupun kepada kementerian lain yang berkaitan.

MTUC ingin menegaskan bahawa pihak kerajaan perlulah serius dan tidak bersikap pilih kasih ataupun bersikap selektif di dalam mengambil tindakan terhadap pihak majikan yang masih berdegil dan tidak mahu mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 ini.

Rakyat tertekan kenaikan kos sara hidup

Tindakan tegas perlu dilakukan secara holistik dan segera. Tidak perlu lagi menunggu sehingga aduan dibuat.

Pemeriksaan berterusan dari pihak penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja perlu dijalankan secara agresif dalam memastikan perlaksanaan ini dipatuhi dalam memenuhi aspirasi Kerajaan Keluarga Malaysia untuk membantu golongan pekerja di Malaysia lebih-lebih lagi ianya melibatkan anak tempatan Keluarga Malaysia kita.

Pihak Jabatan Tenaga Kerja perlu ada inisiatif sendiri dalam melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan berterusan.

Kerajaan dan pihak majikan seharusnya memahami keperluan mendesak bagi pekerja-pekerja ini bagi menikmati gaji minimum yang telah diumukan pada kadar yang segera.

Majoriti kehidupan rakyat Malaysia ini sudah tertekan dengan kos sara hidup baru-baru ini.

Gambar hiasan.

MTUC yakin bahawa, pihak kerajaan dan juga majikan sudah tentu tidak mahu melihat pekerja-pekerja ini keluar di jalanan untuk membuat bantahan ataupun berpiket dalam menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kerana tidak mendapat haknya untuk menikmati gaji minimum yang sememangnya perlu dilaksanakan.

Sehubungan dengan itu, MTUC menyeru sekali lagi kepada pihak kerajaan dan juga majikan untuk segera melaksanakan gaji minimum ini.

Sekiranya ketidakpatuhan ini terus berlaku dan tidak ada tindakan yang serius dan segera dilakukan oleh pihak kerajaan dan juga majikan, maka MTUC akan mencadangkan agar tindakan lain seperti menyuarakannya isu di peringkat global seperti di Persidangan Perburuhan Antarabangsa yang dianjurkan oleh Pertubuhan Perburuhan Antarabangsa (ILO) akan dilakukan.

MTUC tidak boleh bersetuju dan mengecam apa-apa tindakan dari mana-mana pihak yang berunsurkan buruh paksa. Lebih-lebih lagi ianya melibatkan kaum pekerja di negara kita.


KAMARUL BAHARIN MANSOR ialah Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.