Dua ahli parlimen bebas dari Sarawak mengesahkan mereka sedang mencari platform untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat dan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang.

“Niat (saya) masih mencari platform untuk bertanding semula pada PRU15 akan datang di Sri Aman, walau apa pun.

“Semoga penyokong akar umbi saya masih utuh,” kata Masir (atas, kiri) seperti dipetik The Borneo Post hari ini.

Ahli Parlimen Sri Aman tiga penggal itu berkata buat masa ini dia akan kekal sebagai ahli parlimen bebas yang menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan persekutuan.

Tambah Masir, dia setakat ini tidak mempertimbangkan untuk memohon menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Masir berada di kerusi Sri Aman sejak 2008, yang dimenanginya dengan tiket Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebelum keluar parti itu pada 2019 untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Dia kemudian meninggalkan PSB pada 30 Mac tahun ini dan menyokong kerajaan Ismail Sabri.

Menunggu PRS

Sementara itu, Jugah yang mengesahkan hasrat untuk bertanding pada PRU15 dengan berkata dia masih berharap untuk menyertai semula PRS sebelum pilihan raya.

"Saya masih menunggu keputusan majlis tertinggi PRS (apabila mereka bermesyuarat) pada 4 Sept," katanya.

Jugah juga menegaskan dia mendapat restu Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg untuk menyertai semula PRS.

Dia yakin parti itu akan menerimanya semula kerana sokongan akar umbinya di Lubok Antu.

“Memorandum telah diserahkan kepada timbalan presiden dan setiausaha agung PRS. Dan 80 peratus ketua rumah panjang atau kampung di kawasan Lubok Antu telah menandatangani (menyokong) akuan berkanun (SD),” katanya sambil mendakwa 32 ketua rumah panjang atau ketua kampung telah menghantar SD sejak beberapa minggu lalu.

Jugah keluar PRS sebelum PRU14 dan seterusnya memenangi kerusi Lubok Antu sebagai calon bebas sebelum menyertai PKR.

Berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020, Jugah keluar dari PKR untuk menjadi ahli parlimen bebas semula.