Peguambela dakwa DPP ajar saksi beri keterangan
Mahkamah Majistret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mendengar kes pasangan kekasih yang didakwa berkelakuan tidak senonoh di Taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC) empat tahun lalu, mengingatkan pihak pendakwaraya supaya tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan kesangsian pihak pembela.
Mahkamah Majistret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mendengar kes pasangan kekasih yang didakwa berkelakuan tidak senonoh di Taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC) empat tahun lalu, mengingatkan pihak pendakwaraya supaya tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan kesangsian pihak pembela.
Sebelum itu, peguam S Selvam mendakwa di mahkamahbahawa saksi pertama, Mohd Noor Abdul Manaf, 52, didapati bercakap dengan saksi kedua, Rosmi Mahmud, 48, di dalam bilik saksi sebelum perbicaraan bermula pagi ini.
Selvam memberitahu Majistret Rashihah Ghazali, perbincangan mengenai kes yang sedang dibicarakan adalah tidak sepatutnya berlaku bagi menjamin keadilan.
Namun, beliau mendakwa, Pendakwaraya Nor Ariffin Hisham tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk meghentikan perbualan tersebut.
Selain itu, peguambela itu juga mendakwa Mohd Noor juga berada di bilik saksi dan mengajar Rosmi bagaimana memberi keterangan di mahkamah.
S Selvam: Adakah awak bersetuju yang awak ada berbincang dengan saksi pertama pasal kes ini di dalam bilik saksi?
Rosmi Mahmud: Ya, saya setuju.
S Selvam: Saksi pertama yang saya rujuk adalah Mohd Noor, setuju?
Rosmi Mahmud: Ya, saya setuju.
Surat penggantungan kerja
Selvam mewakili pasangan tersebut, Ooi Kean Thong dan teman wanitanya, Siow Ai Wei yang dibicarakan atas tuduhan berkelakuan tidak sopan, iaitu berpelukan dan bercumbuan di bawah rimbunan pokok, di taman KLCC, pada jam 5.20 petang 2 Ogos 2003.
Pasangan itu juga didakwa atas tuduhan pilihan berkelakuan sumbang di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 8 (1) Undang-undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan) 1981 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selvam juga mendakwa bahawa Nor Ariffin mengajar Rosmi bagaimana memberi keterangan di mahkamah, tetapi DPP itu menafikannya.
Sebaliknya, kata Nor Ariffin, beliau hanya mengingatkan Rosmi mengenai kes tersebut dan keterangan yang telah diberinya dalam perbicaraan sebelum ini.
"Dia (Rosmi) mempunyai hak untuk mengetahui apa keterangan yang dibuat sebelum ini di mahkamah," kata Ariffin.
Sementara itu, Selvam juga memberitahu mahkamah bahawa Lembaga Disiplin DBKL telah menggantung perkhidmatan Rosmi kerana mengingkari arahan pegawai atasannya.
Katanya, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Lembaga Disiplin DBKL pada 4 September 2003 lalu.
Selvam berkata, beliau membangkit perkara itu kerana ia boleh menjejaskan kredibilliti saksi tersebut.
Rasyihah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes pasangan tersebut disambung pada pada 16 dan 30 April ini.

