Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tampil memperjelas kenyataan presiden parti itu Abdul Hadi Awang yang dilaporkan mengaitkan orang bukan Islam sebagai "punca rasuah."

Ketua DHPP N Balasubramaniam (gambar, bawah) berkata dia sendiri bertemu dengan Hadi sehari selepas kenyataan kontroversi mengenai bukan Islam dan bukan bumiputera yang dibuat di Facebook pada 20 Ogos lalu.

"Bila kami jumpa dengan presiden kami faham dari keterangan dia, sebenarnya dia kata yang bagi rasuah itu orang terkenal dan kaya-kaya, yang bagi rasuah itu.

"Selepas itu kami faham apa yang dimaksudkan. Jadi kami dari DHPP tak timbulkan isu ini sebagai isu besar," katanya.

Balasubramaniam bercakap pada sidang media semasa muktamar DHPP yang diadakan di Sungai Petani, Kedah, menjelang muktamar PAS Pusat esok.

Apabila ditegaskan bahawa ramai pihak yang kesal dengan kenyataan Hadi itu, Balasubramaniam berkata, "kita kena faham. Di mana sahaja PAS memerintah, tak ada isu perkauman."

"Apa yang dikatakan oleh beliau (Abdul Hadi) satu-satu perkataan telah diambil untuk dijadikan isu besar," katanya.

Selari dengan pandangan Balasubramaniam, Ketua Pemuda DHPP B Balendran (gambar, bawah) juga mendakwa keseluruhan ucapan Hadi diambil di luar konteks.

"Teks beliau panjang...yang dimaksudkan adalah segelintir sahaja.

"Jangan salah baca kenyataan beliau. Kena dibaca dalam konteks keseluruhan. Yang dilaporkan mungkin kurang tepat sedikit, kena tengok secara menyeluruh," jelas Balendran.

Siasatan polis

Turut hadir pada muktamar DHPP itu ialah Naib Presiden PAS Nik Mohd Amar Nik Abdullah yang sebelum itu menyampaikan ucapan perasmian.

Hadi kini disiasat berhubung hantaran di Facebooknya pada 20 Ogos.

Polis berkata pada Ahad (28 Ogos) bahawa 28 laporan polis telah dibuat terhadap Hadi.

Laporan itu susulan kenyataan Hadi sebelum ini antara lain dilapor mengatakan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara.

Duta khas bertaraf menteri itu juga mengecam pihak yang "menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram."

"Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

"Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera," kata Abdul Hadi pada 20 Ogos lalu.

Lihat Komen
ADS