Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Kedah nafi dijemput ke muktamar PAS
Diterbitkan:  Sep 3, 2022 9:40 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Umno Kedah menafikan kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan mengesahkan tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri Muktamar PAS kali ke-68.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Jamil Khir Baharom berkata pihaknya ingin menegaskan bahawa tiada sebarang undangan mahupun jemputan yang diterima daripada mana-mana wakil PAS.

Jamil Khir berkata Takiyuddin telah menyebut kononnya pihak PAS telah menjemput kepimpinan Umno termasuk Umno Kedah tetapi tiada respon.

"Kenyataan ini sebenarnya adalah tidak benar dan dikhuatiri akan mengelirukan pembaca di luar sana.

"Adalah penting bagi pihak Umno negeri Kedah untuk menjelaskan bahawa situasi ini dengan sejelas-jelasnya supaya tiada persepsi buruk yang tidak diingini wujud kelak.

"Umno Kedah juga ingin menzahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan tidak benar yang dikeluarkan setiausaha agung PAS tersebut," kata Jamil Khir pada kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin mengesahkan pihaknya turut menjemput pimpinan Umno untuk hadir ke muktamar yang sedang berlangsung di Alor Setar.

Bagaimanapun, katanya tiada seorang pun daripada mereka yang memberi respon.

"Saya mengesahkan kita jemput pimpinan Umno, tetapi tiada respon, termasuk Umno Kedah pun tiada yang hadir," kata Takiyuddin.

Sementara itu, Jamil berharap penjelasan itu dapat mengelakkan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul kelak dalam kalangan para pembaca.

Lihat Komen
ADS