Najib mohon semakan rayuan kes SRC
Najib Razak memfailkan permohonan untuk panel baru Mahkamah Persekutuan untuk menyemak keputusan menolak rayuannya dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.
Peguam bekas perdana menteri dari Shafee & Co memfailkan permohonan semakan awal hari ini.
Pada 23 Ogos lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas menteri kewangan itu untuk membatalkan sabitan terhadap tujuh pertuduhan jenayah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebagai ganti lima tahun tambahan dalam penjara.
Panel Mahkamah Persekutuan yang lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim kanan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Menurut salinan notis usul itu, ahli parlimen Pekan itu juga merayu terhadap keputusan mahkamah menolak tiga permohonan interlokutorinya.
Satu ialah permohonan Najib untuk menyingkirkan hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali daripada kes SRC dan membatalkan keseluruhan perbicaraan, kedua ialah permohonan menangguhkan pendengaran Mahkamah Persekutuan bagi rayuannya untuk membenarkan pasukan peguamnya membuat persediaan bagi kes itu, dan ketiga permohonannya untuk menyingkirkan hakim Tengku Maimun daripada rayuan itu.
Melalui permohonan semakan itu, Najib berhujah bahawa Nazlan - yang sejak itu dinaikkan daripada Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan - berada dalam konflik kepentingan apabila mendengar kes SRC.
Antara lain Nazlan didakwa tahu bahawa Maybank Investment (satu entiti Kumpulan Maybank) dan BinaFikir (satu lagi entiti Kumpulan Maybank) yang memberikan nasihat kepada 1MDB dalam perkara berkaitan penubuhan SRC.
Najib mengulangi sebahagian besar dakwaannya terhadap Nazlan yang terkandung dalam permohonan yang sudah ditolak sebelum ini untuk membatalkan perbicaraan SRC kerana peranan Nazlan sebelum ini sebagai peguam am dengan Maybank.
Ini termasuk dakwaan bahawa Nazlan mempunyai kawalan undang-undang, penyeliaan dan pengetahuan mengenai pinjaman RM4.17 bilion yang diberikan daripada bank kepada 1MDB Energy, anak syarikat 1MDB.
Najib juga berhujah bahawa keengganan Mahkamah Persekutuan untuk memberikan penangguhan kepada peguamnya Hisyam Teh Poh Teik untuk menyediakan rayuan SRC adalah tidak berperlembagaan kerana didakwa melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/3b3fe3eab8a7fe33a47d39175282ac4e.jpg)
