Berdepan banjir kilat ketiga dalam tempoh dua bulan, penduduk Kampung Iboi dekat Baling tertanya-tanya sampai bila mereka harus hidup dalam ketakutan setiap kali hujan melanda.

Mereka berkata itulah yang dirasai mereka sejak banjir lumpur pada 4 Julai lalu yang meragut nyawa tiga orang dengan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan semantara.

Kebimbangan mereka menjadi kenyataan pada jam 5.30 petang semalam, apabila air turun dari Gunung Inas lalu membanjiri kampung. Ia berlaku selepas hanya 30 minit hujan lebat dan menyebabkan lebih 100 penduduk dipindahkan.

Para penduduk terutama yang sudah berusia yang berada di rumah sendiri ketika anak mereka bekerja, berkata mereka tidak lagi dapat hidup dengan tenang kerana bimbang dengan keselamatan diri.

Jambatan Bailey, iaitu sebuah jambatan sementara yang dibina selepas jambatan asal rosak ketika banjir 4 Julai lalu, juga ditenggelami air semalam.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Iboi Syuhaimi Zakaria berkata jambatan itu tenggelam kerana hanya dibina pada paras dua kaki lebih tinggi dari permukaan Sungai Kupang.

"Air yang turun desar dari bukit yang turut bawa puingtelah menyebabkan tiang elektrik dan jambatan jadi condong, hanya menunggu untuk dihanyutkan jika air turun sekali lagi," katanya.

Katanya, banjir semalam berlaku hanya 62 hari selepas bencana yang meragut nyawa pada Julai lalu serta enam hari selepas lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Rumah mangsa banjir sebelum ini sekali lagi dinaiki lumpur dan serpihan kayu yang hanyut," katanya lagi.

Bantuan banjir sebelum ini turut musnah

Timbalan pengerusi pertubuhan itu, Ahmad Shukri Mat Piah pula berkata, selain trauma akibat kejadian sebelum ini, penduduk kampung juga berdepan kerosakan yang semakin banyak.

"Semua bantuan dan peralatan yang diberi kerajaan dan NGO sebelum ini musnah. Tanaman rosak dan musnah, dan ternakan dihanyutkan banjir semalam.

"Persoalannya, sampai bila kami perlu hadapi seksaan dan kesusahan ini? Kami benar-benar gesa dan harap pihak berkuasa persekutuan dan negeri dapat ambil tindakan segera.

"Sudah tiga kali banjir berlaku tetapi masih belum ada tindakan jelas diambil untuk mengurangkan risiko bencana," katanya lagi.

Katanya, selepas banjir 4 Julai, hanya tanah yang tertimbun di darat yang telah dibuang, tetapi pasir yang mendap di dasar sungai masih di situ.

"Puing yang hanyut masih dibersihkan. Setiap (pihak berkuasa) hanya sibuk tuding jari, penduduk dibiarkan begitu saja," katanya.

Dia menggesa tindakan segera dibuat berdasarkan syor yang dikemukakan Laporan Kajian Bencana Geologi.

Antara langkah jangka pendek yang disyorkan adalah memindahkan penduduk yang tinggal di zon bahaya, memandangkan banjir dijangka lebih kerap berlaku dalam tempoh beberapa bulan mendatang kerana kerana kedalaman sungai sudah kurang dua meter akibat aliran puing.

"Jangan hanya paksa penduduk dan mangsa untuk terima hasil kajian sedangkan kerajaan tidak melaksanakan tindakan yang disyorkan pakar terlibat," katanya.

Penduduk mahu RCI

Dalam pada itu, Shukri berkata penduduk menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat punca banjir kilat dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Berapa bacaan bacaan tolok hujan automatik di puncak Gunung Inas? Sekuat mana siren amaran banjir berbunyi?

"Berapa kali dialog dan sesi penerangan berkenaan banjir ini dibuat dengan penduduk? Sudah berapa dalam mendapan di Sungai Kupang dikorek dan dibuang?" soalnya lagi.

Dia juga menggesa kerajaan menghentikan kegiatan penanaman durian Musang King, yang menurut Laporan Kajian Bencana Geologi telah meningkatkan hakisan akibat hujan lebat.

"Nyawa kami diancam setiap kali banjir berlaku," katanya.

Laporan Kajian Bencana Geologi menyimpulkan punca utama bencana itu, yang dianggarkan menyebabkan kerugian RM25.91 juta, adalah hakisan tanah dan pergerakan puing di kawasan tinggi, yang menyebabkan puing mengalir ke Sungai Kupang.

Punca kedua pula, menurut laporan itu, adalah penebangan kawasan seluas 5,000 hektar di Kompartmen 8 kawasan hutan simpan, dengan 823 hektar daripada kawasan itu digantikan dengan tanaman getah dan durian.

Kata laporan itu lagi, perubahan tanah telah meningkatkan kadar hakisan dan timbunan daripada hakisan sebelumnya, serta ditambah dengan hakisan baru ketika hujan lebat 4 Julai, turut menyumbang kepada kian banyak puing yang dibawa arus, membawa kepada banjir kilat.