Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

• DIKEMASKINI 7.35PM | Artikel ini telah dipinda untuk memberikan gambaran yang lebih tepat berhubung kenyataan Fahmi Fadzil.

Walaupun hasrat Muda untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) mendapat pelbagai respons, termasuk tentangan dari dalam PKR, DAP bagaimanapun melihat permohonan itu secara positif dan mahu perkara itu dibincangkan dalam majlis presiden akan datang secepat mungkin.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pihaknya berpendapat pengumuman Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai PH membuktikan satu lagi parti menaruh keyakinan terhadap gabungan itu.

“Muda telah membuat kenyataan terbuka mengenai hasrat mereka untuk menyertai PH, saya pasti mereka serius dengan permohonan mereka dan mereka akan menulis secara rasmi kepada PH.

"Memandangkan permohonan itu telah dibuat secara terbuka, saya lihat mereka telah membuat langkah pertama, maka terpulang kepada PH untuk menjawab permohonan mereka.

“Ia perlu dibincangkan secepat mungkin," katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini dan KiniTV hari ini.

Loke berkata pihaknya akan menyatakan pendirian mengenai permohonan Muda dalam mesyuarat majlis presiden PH akan datang, yang kini diadakan dua minggu sekali.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan pendirian DAP yang telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusatnya baru-baru ini.

"Kami melihatnya dari sudut positif kerana ini menunjukkan Muda mempunyai keyakinan dan hasrat untuk menjadi sebahagian daripada PH. Saya rasa kami harus mengalu-alukan hasrat itu. Seperti yang kami katakan, kami sentiasa mengalu-alukan parti yang sehaluan untuk menjadi sebahagian daripada gabungan kami dan untuk mengukuhkan gabungan kami," katanya.

“Kami akan menyatakan pandangan dan pendirian kami dalam mesyuarat majlis presiden, saya tidak mahu mendahului apa-apa,” katanya.

Amanah mahu pembangkang bersatu

Dalam pada itu, Amanah juga dilihat bersedia menerima Muda menyertai PH.

Pengarah komunikasinya, Khalid Samad memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu mahu melihat parti pembangkang bersatu.

"(Muda) Dialu-alukan. Kesatuan pembangkang adalah hasrat Amanah dan insya-Allah akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden PH," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Pendirian PKR

Bagaimanapun tidak semua komponen PH dilihat terbuka dengan idea untuk menerima Muda menyertai PH.

Pemuda PKR (AMK) sebelum ini berkata terdapat banyak syarat yang perlu dipenuhi sebelum keputusan dibuat berhubung permohonan itu.

Ketuanya, Adam Adli Abdul Halim juga mahu PH menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan untuk menerima Muda, khususnya mendengar pendapat dan sentimen akar umbi.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata Muda masih belum memohon untuk menyertai PH, justeru perkara itu masih belum dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat majlis presidennya.

Situasi PSM- Pakatan Rakyat tak sama

Sementara itu, PSM, yang gagal menyertai Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu, berharap parti berasaskan anak muda akan dapat menyertai gabungan pembangkang.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Loke berkata Pakatan Rakyat tidak menerima penyertaan PSM sebagai salah satu sekutunya, disebabkan bantahan oleh PAS.

"Itu pandangan PSM. Sebab PSM tidak diterima Pakatan Rakyat kerana ada bantahan keras oleh PAS," katanya.

Dia bagaimanapun berkata senario antara permohonan PSM dan Muda adalah berbeza.

Loke berharap parti lain dalam PH melihat permohonan Muda dari sudut positif.

"Saya fikir kita perlu melihatnya sebagai persaingan yang sihat walaupun dalam gabungan. Ini adalah sebahagian daripada persaingan politik, malah dalam gabungan itu, kita boleh mempunyai persaingan yang sihat untuk melakukan yang lebih baik.

"Setakat permohonan itu, saya rasa keputusan itu perlu dibuat secara kolektif oleh PH, bukan oleh mana-mana pihak. PH tidak bergerak atau ditentukan oleh mana-mana pihak," katanya.

Laporan disediakan oleh Lee Way Loon, Kow Gah Chie & Ng Xiang Yi

Lihat Komen
ADS