Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) pada tahun ini, tetapi tarikhnya belum ditetapkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, demikian menurut laporan akhbar Sin Chew Daily hari ini.

Akhbar aitu memetik Timbalan Menteri, Datuk Mohd Johari Baharum sebagai berkata segalanya akan dibincangkan selepas Pejabat Peguam Negara menyiapkan laporan mengenainya dan dihantar kepada kabinet untuk disemak.

Menurutnya, selepas diluluskan oleh kabinet, perkara itu akan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Katanya, dalam proses menyediakan laporan tersebut, satu kaji selidik telah dibuat di mana nasihat dan komen orang awam, ahli Pahlimen, pihak polis dan juga badan-badan bukan kerajaan, telah diambilkira oleh Pejabat Peguam Negara.

Selain itu, katanya, kepentingan anggota polis juga tidak akan diabaikan kerana pasukan penguatkuasa undang-undang itu telah wujud sejak 200 tahun.

SMS polis untuk 'jaga' rumah

Orang ramai boleh menghantar SMS kepada pihak polis supaya menjaga rumah mereka ketika mereka balik kampung sempena perayaan tahun baru Cina.

Akhbar Sin Chew Daily memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, , Datuk Christopher Wan Soo Kee sebagai berkata, orang ramai boleh memberitahu alamat rumah mereka dalam SMS tersebut.

Program tersebut telah bermula dua tahun lalu di bawah program RakanCop. Orang ramai boleh menghantar SMS dengan menaip POLIS <negeri> BK <alamat> <tarikh mereka pulang ke kampung dan balik semula> dan menghantarnya ke 32728.

Wan berkata, singkatan bagi menganti nama penuh negeri ialah KL untuk Kuala Lumpur, SL (Selangor), MK (Melaka), JH (Johor), KN (Kelantan), NS (Negeri Sembilan), PK (Perak), PS (Perlis), SBH (Sabah), SWK (Sarawak) dan TR (Terengganu).

Barang kemas RM50 ribu dari mulut

Kisah seorang gadis Melayu berusia 20 tahun yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan barang hiasan emas dari mulutnya turut dilaporkan oleh akhbar Nanyang Siang Pao.

Farah Izzati Mohamad Sani berkata dia boleh berbuat demikian sejak lapan tahun lalu dan boleh mengeluarkan barang kemas sekurang-kurangnya empat kali sebulan.

Katanya, setiap jenis barang kemas itu bernilai sekurang-kurangnya RM300.

Hingga sekarang, barang kemas yang dikeluarkan di mulutnya itu dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM50 ribu.