Timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli menyeru penduduk di Sabah dan Sarawak agar tidak termakan permainan politik wilayah sempit yang memecahbelahkan persaudaraan dengan Semenanjung.

Dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia, Rafizi berkata punca utama kepada masalah seperti kemiskinan di Sabah dan Sarawak adalah disebabkan penguasa politik yang melakukan rasuah dan penyelewengan.

Katanya, keadaan sama berlaku di Semenanjung apabila golongan elit politik berlumba-lumba mengumpul kekayaan ketika berkuasa.

"Di Sabah dan Sarawak, golongan yang mengaut kekayaan dari amanah kuasa ini juga yang sama naik mengambil kesempatan menuding jari kepada “Semenanjung” sebagai punca kepada segala masalah di Sabah dan Sarawak.

"Itu jalan mudah untuk menutup kesilapan dan pecah amanah mereka dengan berselindung di sebalik sentimen kewilayahan yang memecah belah persaudaraan rakyat," kata Razifi.

Rafizi berkata sebagai ahli politik, dia kerap melawat Sabah dan Sarawak serta meyaksikan sendiri isu kemiskinan di kedua-dua negeri itu.

Tambahnya, sejak berdekad, ahli-ahli politik di Semenanjung menutup mata kepada penyelewengan dan kegagalan rakan-rakan politik mereka di Sabah dan Sarawak daripada gabungan yang sama.

“Akibatnya, rasuah dan penyelewengan menjadi darah daging. Ramai berebut menjadi ahli politik kerana itu jalan kekayaan.

"Saudara-saudara di Sabah dan Sarawak perlu memilih penguasa dan pentadbir yang bukan sahaja jujur tetapi cerdik, berwawasan dan cekap mentadbir kerana Sabah dan Sarawak wajar membangun pada kadar yang lebih deras berbanding Semenanjung untuk berada pada tahap pembangunan yang sama.

"Kalau saudara-saudara berpuas hati dengan sang penguasa yang mendabik dada mengenai hak Sabah dan Sarawak sahaja tetapi tidak cerdik dan cekap membangunkan wilayah,kalau pun hasil yang banyak disalurkan kepada Sabah dan Sarawak, hasil itu akan dibazirkan kerana kegagalan mengurus dan mentadbir,” kata Rafizi.

Bagi rakan di Semenanjung pula kata Rafizi mereka perlu menerima kenyataan bahawa adalah tidak adil melayan Sabah dan Sarawak sebagai hanya salah satu negeri di dalam Persekutuan Malaysia.

"Saya percaya kedudukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia adalah sebagai wilayah-wilayah (bukannya negeri-negeri) seperti semangat asal penubuhan Malaysia dahulu.

"Saya percaya saudara-saudara di Sabah dan Sarawak berhak mendapat hasil yang adil dan setimpal dari kekayaan wilayah mereka,” katanya.