Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mendakwa ribuan lagi bekas pelajar institusi pengajian tinggi ke mahkamah kerana gagal membayar pinjaman mereka.

Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, Ketua Pengarah PTPTN, Yunos Abdul Ghani berkata bekas pelajar terbabit masih enggan menjelaskan hutang mereka walaupun tiga surat guaman telah dihantar meminta menyelesaikan hutang masing-masing.

Katanya, bekas pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN dari tahun 1997-2004 akan dihadapkan ke mahkamah kerana gagal menjelaskan hutang mereka selepas surat guaman ketiga dihantar.

Menurutnya, bekas pelajar yang telah menerima surat guaman ketiga dikehendaki menjelaskan hutang mereka secepat mungkin dalam tempoh masa dua minggu.

Bagi bekas pelajar yang masih tidak berkemampuan untuk menjelaskan pinjaman, beliau berkata mereka harus mengambil initiatif untuk menjelaskan keadaan mereka bersama bukti kukuh dan sebab-sebab yang munasabah.

Manakala mereka yang belum menerima sebarang surat dari PTPTN, katanya, perlu menghubungi PTPTN mengenai pinjaman mereka.

Surat guaman

"Sebagai contoh, jika telah bertukar alamat, mereka perlu memberitahu kita mengenainya. Ini adalah tugas mereka untuk memberitahu kita. Jika tidak, kita tidak akan tahu mengenainya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan bekas pelajar yang belum menerima surat guaman supaya menjelaskan hutang mereka bagi mengelak dikenakan tindakan mahkamah.

Sementara itu, akhbar Nanyang Siang Pau melaporkan semalam bahawa seramai 115 bekas pelajar didakwa di mahkamah kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka.

Yunos berkata, PTPTN akan mempertimbangkan tindakan muflis terhadap bekas pelajar yang enggan membayar hutang mereka, tetapi menegaskan bahawa ia merupakan langkah terakhir.

Sekurang-kurangnya RM600 juta telah dipinjam kepada pelajar pada 1997 dan sehingga sekarang, hanya RM270 juta dibayar balik.

Program PTPTN yang diwujudkan pada 1997 menyediakan pinjaman kepada pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi mengatasi masalah kewangan mereka.