Beberapa ahli parlimen mengemukakan notis untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara.

Mereka ialah Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Fuziah Salleh (PKR-Kuantan), Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai), Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang), and Hannah Yeoh (DAP-Segambut).

Notis itu dihantar kepada setiausaha Dewan Rakyat pada minggu lalu.

Azlina menyerahkan notis tersebut atas kapasitinya sebagai pengerusi jawatankuasa pilihan parlimen mengenai wanita, kanak-kanak dan pembangunan sosial.

Ahli parlimen sedang berusaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan seseorang ibu memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka tanpa mengira di mana bayi terbabit dilahirkan.

Ia boleh dilakukan dengan menambah perkataan "atau ibunya" pada peruntukan perkara terbabit dalam perlembagaan bagi membolehkan kewarganegaraan diberi melalui kuat kuasa undang-undang.

Pada masa ini dua subfasal di bawah Bahagian II menyatakan, seseorang bayi yang dilahirkan di luar Malaysia “kepada bapa Malaysia” boleh menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang.

Bulan lalu sebuah NGO, Family Frontiers, dan enam ibu warga Malaysia memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam usaha mereka supaya ibu warga Malaysia diberikan hak yang sama seperti lelaki rakyat Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Pada 5 Ogos, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk membatalkan keputusan penting oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 bahawa wanita warganegara Malaysia juga boleh memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan di negara luar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan tidak akan membentangkan pindaan perlembagaan berhubung perkara itu sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung rayuan tersebut.

Pengkritik menganggap langkah itu sebagai suatu kesilapan.

Malaysia adalah satu daripada beberapa negara yang tidak memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada bayi yang dilahirkan seorang wanita rakyat negara ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata undang-undang sebegitu boleh menyebabkan isu individu tiada kewarganegaraan atau menghalang kanak-kanak daripada mengakses hak asasi manusia, terutamanya dalam keadaan bapa mereka tidak ada.

Sesetengah ibu Malaysia yang bersalin di luar negara berjaya mendapatkan kerakyatan untuk anak mereka, walaupun selepas bertahun-tahun memohon, manakala yang lain gagal tanpa sebarang sebab.

[Baca berita penuh]