Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda tegaskan niat hanya sasar kerusi BN, PN
Diterbitkan:  Sep 19, 2022 4:15 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Parti Muda hari ini menyatakan, keinginan mereka menyertai pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH) adalah dengan hanya menyasarkan kerusi yang kini diwakili BN dan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, berkata ada dua perkara yang ditekankan parti itu apabila mereka menyatakan hasrat untuk menyertai PH baru-baru ini.

Satu lagi tumpuan Muda, katanya, ialah mahu memastikan gabungan pembangkang itu berjaya mencapai kemenangan apabila pilihan raya umum (PRU) diadakan nanti.

"Justeru Muda menzahirkan niat untuk memastikan pembangkang bergerak seiring.

"Rundingan kerusi, strategi pilihan raya, komunikasi antara parti sudah tentu akan berjalan dengan lebih baik jika berada dalam satu gabungan yang sama," katanya hari ini.

Amira Aisya berkata demikian sehari selepas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, dilaporkan memberi jaminan untuk memastikan tidak berlaku pertembungan calon di antara PH dengan Muda dalam PRU akan datang.

Kata Rafizi, pertembungan berkenaan boleh dielakkan melalui rundingan kedua-dua pihak.

Menurut bekas ahli parlimen Pandan itu, ketika ini PH sedang memberi tumpuan kepada rundingan dalam kalangan parti komponennya dan ia dijangka selesai menjelang akhir bulan ini.

"Rundingan sedang berlaku dan saya yang ketuai rundingan bagi pihak PKR.

"Soal Muda (mahu kerjasama politik dengan PH) akan melalui proses dalam PH. Maknanya perkara itu perlu dibawa kepada Majlis Presiden PH untuk dibincang dan sebagainya," kata Rafizi seperti dipetik Sinar Harian semalam.

Untuk rekod, Muda berjaya menghantar wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri Johor pada Mei lalu melalui kerusi Puteri Wangsa yang asalnya diberikan PH kepada Amanah.

Dalam pilihan raya negeri tersebut, Amira Aisya mengalahkan lima calon lain dengan mendapat 22,884 undi dan memiliki kelebihan 7,144 undi berbanding pencabar terdekatnya, Ng Yew Aik (BN).

Kata Amira Aisya, Muda menyambut baik pandangan yang dikemukakan Rafizi semalam dan meminta semua pihak - termasuk ahli Muda - agar Majlis Presiden PH diberi ruang secukupnya untuk berbincang.

"Ini bukan hal yang kecil dan remeh.

"Kita harus hormat dan menyediakan ruang serta masa kepada rakan-rakan untuk mengadakan perbincangan rasmi kerana paling penting, kita mahu rakyat dapat manfaat dari hubungan politik antara parti ini," katanya.

Lihat Komen
ADS