Bersih menggesa peranan pendakwa raya dipisahkan daripada Peguam Negara (AG) sebelum pilihan raya umum akan datang bagi mengelakkan persepsi berlaku campur tangan politik dalam kes melibatkan ahli politik.

“Walau apa pun merit atau keputusan setiap kes, keyakinan orang ramai terhadap institusi yang menjalankan keadilan, termasuk mahkamah dan pejabat pendakwaan, akan terus goyah (jika ini tidak dilakukan),” kata kumpulan reformasi pilihan raya itu dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih berkata keputusan mahkamah membebaskan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi daripada tuduhan rasuah dan melepaskan tanpa membebaskan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim - juga atas tuduhan rasuah - menunjukkan perlunya pejabat pendakwa raya dipisahkan daripada peguam negara.

"Kita harus diingatkan mengenai prinsip bahawa 'keadilan bukan sahaja harus dilaksanakan tetapi harus secara jelas dan tidak tidak diragukan dilihat dilaksanakan.

"Pendakwa Raya, yang mempunyai peranan penting untuk membantu badan kehakiman dalam pentadbiran keadilan jenayah, secara jelas dan tidak diragukan lagi harus dilihat sebagai bebas, tidak berat sebelah, dan di luar campur tangan politik.

“Ini hanya boleh dilakukan dengan memisahkan peranan pendakwa raya daripada Peguam Negara yang dilantik secara politik," kata Bersih yang turut menggesa kerajaan menyiapkan kajian mengenai pemisahan kuasa itu tanpa berlengah lagi.

Di samping itu, Bersih juga menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai reformasi terhadap peranan peguam negara, melibatkan semua blok politik.

“Memulihkan keyakinan terhadap pejabat pendakwa raya dan badan kehakiman harus menjadi keutamaan semua parti politik dan perlu disokong semua pihak,” kata Bersih.