mk-logo
Berita
Bubar parlimen 'masa terdekat' - Adakah Umno derhaka, soal Loke
Diterbitkan:  Oct 1, 2022 9:06 AM
Dikemaskini: 1:23 AM

Keputusan MKT Umno bahawa PRU15 mesti diadakan dalam masa terdekat membelakangkan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran parlimen, kata Setiausa Agung DAP Anthony Loke.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara bahawa kenyataan terbuka berkenaan pembubaran parlimen dikeluarkan sebelum pun perdana menteri menghadap untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Bukankah ini satu tindakan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong," soalnya pada satu kenyataan hari ini.

Loke berkata keputusan MKT Umno yang diumumkan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan malam tadi "bersifat angkuh, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan."

"Kata kunci dalam kenyataan (Ahmad Maslan) tersebut bahawa pembubaran parlimen mesti diadakan dalam masa terdekat dan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga iaitu dalam tempoh masa tiga bulan berbaki seolah-olah merupakan satu pra-syarat yang telah ditetapkan oleh MKT Umno terhadap Yang di-Pertuan Agong tanpa mengambil kira bahawa Perkara 40(1) juga perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Malam tadi, Ahmad Maslan berkata "pembubaran parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada tahun ini juga."

"Berdasarkan keputusan (Umno) ini, Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan," kata setiausaha agung Umno.

Loke berkata DAP akan menjunjung dan menghormati sepenuhnya keputusan KDYMM Yang di-Pertuan Agong dalam soal membubarkan Parlimen selaras dengan prinsip dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"DAP menaruh kepercayaan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan Baginda untuk membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Bagaimanapun, Loke menjelaskan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan pula "amat jelas memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen."

"Umno juga perlu diingatkan bahawa mereka hanya mempunyai 38 Ahli Dewan Rakyat ketika ini daripada jumlah 222 orang atau hanya 17 peratus yang membentuk Parlimen Malaysia.

"Umno tidak boleh dibenarkan untuk bertindak sewenang-wenangnya seolah-olah mereka masih merupakan parti majoriti terbesar di parlimen pada hari ini," kata setiausaha agung DAP itu lagi.

Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong seperti berikut;

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Lihat Komen
ADS