Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis selesai rakam kenyataan Tommy Thomas
Diterbitkan:  Oct 1, 2022 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Polis telah mengambil keterangan bekas peguam negara Tommy Thomas berhubung siasatan ke atas buku memoir yang ditulisnya.

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noorsiah Mohd Saaduddin, dalam satu kenyataan hari ini, pihak berkuasa telah membuka kertas siasatan berhubung isu itu.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berkaitan buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness karya Tommy Thomas. Percakapan bekas peguam Negara tersebut juga telah selesai dijalankan oleh PDRM.

"Susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness yang telah ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri dan arahan yang disampaikan oleh YAB PM agar siasatan lanjut segera dilaksanakan, kertas siasatan yang telah diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 3 Oktober 2022 untuk arahan selanjutnya," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan pihak berkuasa supaya menyiasat lebih lanjut pelbagai dakwaan yang dibuat dalam memoir bekas peguam negara itu.

Dia berkata Thomas akan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan kerana cuba melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Seksyen 4 memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

Thomas juga akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana membocorkan rahsia, Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana salah guna kuasa dan Seksyen 124I (menyebarkan laporan palsu) dan 203A (mendedahkan maklumat ) Kanun Keseksaan.

Lihat Komen
ADS