Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petronas akan lawan tuntutan aset oleh waris Sultan Sulu

Petronas semalam menegaskan akan melawan sebarang tuntutan ke atas asetnya oleh waris bekas sultan Sulu, yang menuntu pampasan sebanyak AS$15 bilion (RM69.5 bilion).

Waris sultan Sulu terakhir memohon mahkamah Belanda pada Khamis lalu untuk mendapatkan kebenaran bagi merampas aset Petronas di Belanda.

Pada Jumaat lalu, kerajaan Malaysia memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap langkah perundangan terbaru itu.

Petronas merupakan milik kerajaan dan mempunyai beberapa anak syarikat yang beribu pejabat di Belanda.

"Petronas mempertahankan pandangannya bahawa sebarang tindakan yang dikatakan menyasarkan Petronas berhubung kes ini adalah tidak berasas dan Petronas akan terus mempertahankan pendirian undang-undangnya," kata syarikat itu dalam satu kenyataan melalui e-mel kepada Reuters.

Waris sultan Sulu menyasarkan aset Malaysia yang berada di luar negara selepas keengganan kerajaan mengiktiraf anugerah timbang tara pada Februari lalu oleh mahkamah Perancis, yang mendapati Malaysia mengingkari perjanjian pajakan tanah pada 1878.

Perjanjian itu ditandatangani antara dua penjajah Eropah dan sultan Sulu bagi kegunaan wilayahnya, yang sebahagiannya kemudian masuk ke dalam Malaysia.

Malaysia mematuhi perjanjian itu sehingga 2013, dengan membayar waris Sultan Sulu kira-kira AS$1,000 (RM4,637) setahun.

Bagaimanapun Kuala Lumpur menghentikan pembayaran selepas pencerobohan oleh pengikut bekas kesultanan Sulu yang ingin menuntut semula tanah itu.

Waris sultan Sulu meneruskan proses timbang tara ke atas penangguhan itu, yang tidak disertai Malaysia kerana dikatakan tidak sah.

Pihak yang menuntut mempunyai pertalian dengan Sultan Sulu terakhir Jamalul Kiram II yang mangkat pada 1936 dan merupakan warganegara Filipina kelas pertengahan.

Kesultanan Sulu pernah menguasai kawasan hutan dan kepulauan di selatan Filipina serta sebahagian pulau Borneo.

Walaupun Malaysia memperoleh penangguhan sementara menunggu rayuan, keputusan itu tetap boleh dikuatkuasakan di luar Perancis di bawah perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung timbang tara antarabangsa.

Pada Julai lalu, dua anak syarikat Petronas yang berpangkalan di Luxembourg telah disita menerusi bailif mahkamah sebagai sebahagian daripada usaha waris berkenaan.

Lihat Komen
ADS