Paling Popular
Terkini

Ahli Parlimen Julau Larry Sng menegaskan dia masih merupakan presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ini susulan laporan media yang mendakwa presiden sementara PBM, Zuraida Kamaruddin dilantik secara rasmi sebagai presiden parti itu pada mesyuarat agung tahunan parti itu semalam.

Bagaimanapun, Sng berkata proses sewajarnya perlu dilakukan bagi penyerahan kuasa presiden kepada Zuraida.

“Proses sewajarnya perlu dilakukan untuk peralihan kuasa ini dilakukan.

“Sekadar mahu menjelaskan, sekiranya pilihan raya diadakan sebelum peralihan kuasa ini selesai, saya tetap akan menandatangani watikah calon pada PRU15,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Sng berkata jawatan presiden parti hanya akan kosong jika berlaku tiga senario iaitu jika presiden meletak jawatan, disingkirkan atau meninggalkan parti.

“Memandangkan saya tidak meletak jawatan mahupun keluar parti, terpulang kepada Majlis Tertinggi (PBM) untuk memutuskan sama ada mereka mahu mentafsir keputusan perwakilan sebagai pemecatan saya daripada jawatan presiden,” katanya sambil menambah perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi minggu depan.

Semalam, FreeMalaysiaToday melaporkan Zuraida secara rasmi dilantik sebagai presiden PBM selepas menerima sokongan sebulat suara perwakilan.

Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa keputusan semalam hanya meluluskan usul untuk melantik Zuraida sebagai presiden baru.

“Perwakilan semalam telah meluluskan sebulat suara usul peralihan kuasa bagi mengangkat Datuk Zuraida sebagai Presiden baru. Tentu mereka mahu peralihan tersebut dikuasakuasakan sebaik usul diluluskan.

"Minggu depan Majlis Tertinggi (MT) akan jalankan due process, urusan teknikal termasuk pemakluman kepada ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan)," katanya.

Zakaria semalam dilapor berkata terdapat cadangan supaya PBM mewujudkan tiga jawatan timbalan presiden, dengan Sn'g selaku penyandang presiden mengisi salah satu jawatan itu.

"Semua usul yang dibawa oleh perwakilan dalam konvensyen ini diputuskan secara sebulat suara," katanya, seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

Pada 26 Mei, Zuraida mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM serta mengatakan akan membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri dengan perdana menteri.

Sng kemudian mengumumkan Zuraida sebagai presiden sementara PBM pada Jun, yang dipersetujui secara sebulat suara oleh anggota biro politik dan majlis tertinggi parti itu.

PBM kemudian memberi mandat kepada Zuraida untuk mengetuai delegasi bagi bertemu pemimpin parti lain berhubung isu penyertaan parti itu ke dalam mana-mana gabungan.

Lihat Komen
ADS