Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bubar parlimen: PM wajar dapatkan pandangan kabinet - Hamzah
Diterbitkan:  Oct 2, 2022 6:35 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mendapatkan pandangan daripada Jemaah Menteri berkenaan pembubaran parlimen untuk memberikan laluan kepada pilihan raya umum dilaksanakan, kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya ini kerana suasana politik dan pentadbiran negara pada masa kini adalah berlainan berbanding suatu ketika dahulu apabila Barisan Nasional (BN) menjadi parti dominan dalam kerajaan.

“Dalam perlembagaan mengatakan bahawa Perdana Menteri boleh nasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan (parlimen) setelah berbincang dengan Kabinet (Jemaah Menteri), ada orang kata tidak payahlah (kerana) dulu tidak payah.

“Dulu tidak payah kerana ia dominan satu parti sahaja Barisan Nasional, sekarang ini banyak parti dalam kerajaan jadi kena ambil pandangan kabinet sebelum buat keputusan kerana ada dalam perlembagaan,” kata beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Program ‘Kita Demi Negara’ Zon Sabah anjuran Kementerian Dalam Negeri di Dataran Kompleks Sukan Likas yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS