Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU15: Azmin sedia bertarung dengan Anwar, Rafizi nak balik Pandan
Diterbitkan:  Oct 2, 2022 8:20 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali membayangkan dia bersedia menentang bekas bosnya yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim bagi mempertahankan kerusi Gombak pada PRU ke-15 akan datang.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata dia juga sanggup menentang isteri dan anak Anwar.

"Ada orang sudah minat datang Gombak. Silakan, Gombak terbuka, saya anak jantan.

"Silakan, nak hantar isteri pun boleh nak hantar anak pun boleh, kalau berani hantar diri sendiri," kata bekas timbalan presiden PKR itu ketika bercakap pada majlis Bersatu di Shah Alam hari ini.

Gambar fail, Langkah Sheraton.

Walaupun tidak menyebut nama, dia dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Pandan Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Penegasan Azmin itu dinyatakan selepas Anwar mengisytiharkan dirinya bersedia untuk bertanding bagi kerusi parlimen yang disandang oleh “pengkhianat” PKR dan Pakatan Harapan pada PRU ke-15.

Sebagai rekod Azmin salah seorang ahli parlimen PKR yang 'melompat' menyertai Bersatu dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

Ahli parlimen PKR lain yang berpaling tadah ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon ( Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Sejarah tak boleh padam

Azmin turut dilaporkan menyerang Anwar semasa berucap dengan menyenaraikan pengkhianatan presiden PKR sendiri kepada pengundi, seperti ‘Langkah Kajang’ dan Port Dickson melalui pilihan raya.

"Rakyat Malaysia, sila ingat. Sejarah tidak boleh dipadamkan," kata Azmin dipetik sebagai berkata.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mengisytiharkan dia mengintai kerusi parlimen Pandan pada PRU15.

Bercakap kepada pemberita di Pulau Pinang, dia menyatakan pendiriannya dengan jelas kepada kepimpinan parti, yang masih belum memuktamadkan senarai calon untuk pilihan raya.

"Saya telah menyatakan dengan jelas bahawa saya mahu mempertahankan Pandan, sementara menunggu keputusan parti.

"Ini kerana saya boleh berkempen dengan lebih berkesan di peringkat pusat untuk calon PKR jika saya berdiri di Pandan di mana kita mempunyai sokongan yang sangat baik dan cukup mantap," katanya dipetik FreeMalaysiaToday.

Pandan ialah kerusi yang dimenangi Rafizi pada 2013 dalam penampilan pertamanya di parlimen dan sempat berkhidmat selama satu penggal.

Dia kemudiannya tidak bertanding pada PRU14 kerana rayuannya yang belum selesai terhadap hukuman penjara 30 bulan di Mahkamah Shah Alam kerana membocorkan butiran perbankan milik National Feedlot Corp dan pengerusinya Salleh Ismail.

Untuk rekod, Wan Azizah menang kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 52,543 undi.

Lihat Komen
ADS